Search This Blog

Tuesday, May 11, 2010

Pengadu nafi ada kemasukan objek plastik



KUALA LUMPUR 10 Mei - Pengadu dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan menafikan bahawa dia ada mengadu kepada seorang doktor Hospital Pusrawi bahawa terdapat 'kemasukan objek plastik ke dalam duburnya'.
Sambil menyifatkan perkara itu adalah bohong dan tidak benar, bekas pembantu Ketua Pembangkang itu menyatakan, dia tidak tahu kenapa ia ditulis dalam laporan doktor berkenaan.
Dia sebelum itu diserahkan laporan pemeriksaan doktor hospital itu yang ada ditulis 'introduction of plastic into the anus' oleh peguam bela, Karpal Singh yang mewakili Anwar.
''Kurang jelas tulisan ini, tulisan doktor, sukar dibaca,'' kata Mohd. Saiful Bukhari.
Karpal Singh (KS): Adakah ini benar?
Mohd. Saiful Bukhari (MSB): Tidak pernah, tidak pernah buat aduan seperti ini kepada doktor itu.
KS: Doktor akan beri keterangan, masih berpegang pada keterangan tadi?
MSB: Ya.
KS: Tidak kenal doktor ini sebelum itu? Sebelum 28 haribulan?
MSB: Ya, tidak kenal.
KS: Pergi Hospital Pusrawi dengan siapa?
MSB: Pergi dengan pakcik saudara saya, Uncle Tuah.
KS: Kamu kata doktor ini bohong?
MSB: Mengikut laporan ini, doktor berbohong.
KS: Kenapa dia bohong?
MSB: Tidak pasti.
KS: Ada salah faham?
MSB: Tidak.
Peringkat awal keterangannya, saksi utama pendakwa itu berkata, sebelum mengunjungi Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 28 Jun 2008, dia terlebih dahulu pergi ke Hospital Pusrawi dan Hospital Tawakal untuk pemeriksaan.
Di Hospital Pusrawi, katanya, dia berjumpa dengan Dr. Mohd. Osman Abdul Hamid. Pada peringkat ini, doktor tersebut dipanggil untuk pengecaman.
Sebelum diperiksa, menurut Mohd. Saiful Bukhari, dia hanya mengadu sakit di bahagian dubur dan sakit perut.
''Sebelum periksa, saya kata pada beliau saya sakit perut dan dubur, semasa dia periksa saya, saya terus terang dengan cakap saya diliwat,'' katanya.
Menurutnya, dia kemudian tiba di HKL pada pukul 3 petang dan berada di hospital itu sehingga pukul 12 tengah malam kerana dimasukkan ke wad.
Jelas saksi, seorang doktor yang dikenali sebagai Dr. Danial tidak menjalankan pemeriksaan tetapi mengarahkannya ke Pusat Khidmat Krisis Sehenti (One Stop Crisis Centre - OSCC) setelah dia berterus-terang yang dia telah diliwat.
Menurut bekas penuntut Universiti Tenaga Nasional Berhad (Uniten) itu, dia membuat laporan polis semasa berada di wad setelah didatangi oleh dua anggota polis.
Di wad tersebut, katanya, dia telah diperiksa dengan rapi oleh tiga orang doktor.
Karpal kemudian mengemukakan laporan doktor yang mencatatkan bahawa 'pemeriksaan bahagian luar dubur tidak menunjukkan sebarang kecederaan baru'.
KS: Rujuk muka surat dua (laporan tersebut). Tidak ada apa-apa kecederaan, awak setuju dengan perkara itu?
Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden (MY): Adalah sukar untuk saksi ini menyatakan sama ada setuju atau tidak).
Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah (YA): Biar kita dengar apa saksi jawab.
MSB: Saya tidak dapat lihat bahagian anus saya sendiri.
KS: Sekarang dirujuk pada kamu apa masalahnya? Apa yang ada di sini? Apa pendirian kamu tentang ini? Tiada apa-apa yang berlaku pada anus awak?
MSB: Doktor yang buat pemeriksaan. Saya tidak dapat simpulkan laporan perubatan ini.
MY: Soalan ini patut ditanya kepada Doktor.
YA: Dia kata dia tidak boleh melihat anusnya. (sambil menahan ketawa)
KS: Sudah tentu dia tidak boleh melihat anusnya. Jadi mengapa?
MSB: Semasa saya diliwat, saya ada guna lubricant (pelincir).
Karpal kemudian beralih kepada muka surat akhir laporan doktor tersebut dan menyatakan di bahagian ringkasan bahawa ketiga-tiga doktor itu mencatatkan 'tiada penemuan konklusif yang mengesyorkan terdapat penetrasi di bahagian dubur'.
Mohd. Saiful Bukhari hanya menjawab ''no komen''.
Menjawab soalan lain, saksi itu berkata, polis ada merekodkan kenyataannya selepas pemeriksaan tersebut tetapi dia tidak ingat berapa kali direkodkan.
''Banyak kali oleh Jude (Supritendan Jude Blacious Pereira),'' kata saksi.
KS: Anda ada kata tanpa kerelaan (dalam laporan)?
MSB: Dalam laporan saya, ya, tanpa kerelaan.
Karpal kemudian mengemukakan permohonan supaya kenyataan Mohd. Saiful Bukhari di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah itu dibacakan di mahkamah dan dibekalkan kepada mereka.
Ekoran bantahan pihak pendakwa, Hakim Mohamad Zabidin menetapkan esok untuk kedua-dua pihak berhujah berhubung isu tersebut.

No comments:

Post a Comment