Search This Blog

Tuesday, May 11, 2010

Pembeli juga tidak terlepas

KUALA LUMPUR: Pemilik dan penyimpan cakera optik tiruan atau cetak rompak bakal dikenakan tindakan mengikut kesalahan curi apabila pindaan Akta Hak Cipta 1987 dibentangkan di Dewan Negara pada Jun ini oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata usaha drastik itu dilakukan selepas kajian terperinci mendapati tindakan yang dikenakan ketika ini hanya kepada penjual dan pengeluar bahan terbabit kurang berkesan menangani masalah cetak rompak.
Menurutnya, masalah berkaitan barang tiruan dan cetak rompak didapati berpunca daripada permintaan yang menjurus kepada penawaran bahan itu.

“Peruntukan sedia ada akan diperkemaskan. Antaranya memiliki barang cetak rompak samalah seperti memiliki barang curi.

“Perlu diingat, kita sebagai pembeli cakera padat (CD), cakera padat video (VCD) dan bahan seumpamanya bukannya membeli plastik, tetapi sebenarnya membeli harta intelek hasil ciptaan serta pemikiran pengkarya.

“Tidak adil jika hanya satu pihak saja dikenakan tindakan, manakala pihak lain lepas tangan. Selain itu, akta terbabit juga akan dipinda supaya pemilik yang menyewakan premis perniagaan menjual bahan cetak rompak turut dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Membanteras Cetak Rompak 2010, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menterinya, Datuk Tan Lian Hoe, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK, Mohd Roslan Mahayudin dan Norman Abd Halim yang mewakili industri hiburan dan artis tanah air.

Dalam perkembangan lain, kata Ismail Sabri, pihaknya sudah menambah 480 rakan pengguna untuk membantu memaklumkan sebarang kenaikan harga barangan sepanjang kempen pilihan raya kecil Parlimen Sibu di Sarawak.

“Setakat ini kementerian tidak menerima aduan mengenai kenaikan harga barang di sana (Sibu). Pihak kita mengutamakan pemantauan harga barangan makanan.

“Biasalah, apabila berlaku pilihan raya kecil di mana-mana orang akan ramai di tempat itu yang datang dari seluruh negara. Barang lain seperti selimut kita tidak bimbang naik, kementerian tidak mahu ada peniaga terutamanya peniaga makanan mengambil kesempatan dengan menaikkan harga.

“Kementerian tidak akan berkompromi dengan peniaga tamak,” katanya.

No comments:

Post a Comment