Search This Blog

Thursday, May 13, 2010

Pelawak cedera muka



SEREMBAN – Pelawak, pelakon dan pengacara program Raja Lawak, Johan cedera bahagian muka selepas bergaduh dengan seorang produser drama di sebuah restoran di Taman Sri Pulai 2, Sikamat, di sini. 

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, Johan atau nama sebenarnya, Mohd Yazid Lim, 26, cedera selepas dibaling cawan kaca oleh produser terbabit yang dipercayai tidak berpuas hati dengan tingkah laku pelakon itu. 

Johan dikatakan berada di Seremban kerana terbabit penggambaran drama komedi seram empat episod bagi siaran Astro Prima yang turut dibintangi isterinya, Rozlinawaty Ismail, 29, lebih dikenali Ozlyn Wati, 29. 

Sinar Harian difahamkan, penggambaran drama itu berlangsung lima hari dan Johan adalah pelakon utama. 

Seorang saksi berkata, pergaduhan tercetus antara Johan dan produser drama berumur 30-an itu di sebuah restoran mamak dipercayai kerana menegur sikap pelakon itu yang sering tiba lewat ke set penggambaran. 

Menurutnya, mangsa dikatakan ke restoran itu untuk berbincang dengan produser itu sejurus selesai sesi penggambaran di sekitar kawasan berkenaan. 

“Bagaimanapun, keadaan bertukar kecoh apabila produser terbabit membaling gelas kaca ke arah mangsa menyebabkan kecederaan pada kanan atas kening kanan pelawak itu. 

“Saya dapati mukanya berlumuran darah, selain meja di restoran terbalik termasuk pinggan serta gelas bertaburan,” katanya. 

Menurutnya, pergaduhan itu cuba dileraikan isteri Johan dan beberapa krew penggambaran di lokasi kejadian. 

Johan kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, sementara produser itu buat laporan di Balai Polis Rahang, di sini. 

:Pelakon berkenaan mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), jam 10.30 malam dan menerima beberapa jahitan. 

:Beberapa wartawan yang menunggu di luar pekarangan Unit Kecemasan HTJ bagi mendapatkan cerita sebenar daripada Johan gagal apabila pelakon itu menghilang diri sebaik selesai dirawat, dipercayai enggan bertemu media. 

Wartawan dan jurugambar yang menunggu sehingga jam 3 pagi terpaksa pulang hampa apabila kelibat Johan tidak kelihatan, dipercayai meninggalkan HTJ secara 'senyap-senyap' dengan bantuan pengawal keselamatan hospital itu. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asistan Komisioner Saiful Azly ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

No comments:

Post a Comment