Search This Blog

Friday, May 14, 2010

Pelanggan cuba halang penguat kuasa serbu premis bekal GRO



TUMPAT 13 Mei - Walaupun lokasi beberapa premis di Kampung Cherang dan Kampung Jubakar Darat, Tumpat kelihatan agak terpencil dan dikelilingi semak samun, ia tidak menghalang segelintir premis hiburan menawarkan perkhidmatan tidak bermoral termasuk membekalkan khidmat pegawai perkhidmatan pelanggan (GRO).
Malah, ketika diserbu sepasukan anggota Jabatan Imigresen semalam, sebahagian daripada pelanggan premis berkenaan yang sedang khayal menikmati minuman keras cuba menghalang pihak berkuasa daripada menjalankan tanggungjawab mereka.
Timbalan Penolong Pengarah I Jabatan Imigresen Kelantan, Malik Zaliman Deraman berkata, tindakan pelanggan premis itu menghalang tugas pihaknya bagaimanapun gagal apabila sembilan orang GRO warga Thailand berusia antara 19 hingga 31 tahun berjaya ditahan dalam operasi itu.
"Terdapat pelanggan yang mengekori kenderaan dinaiki pasukan penguat kuasa sehingga ke pejabat kononnya untuk mengancam kami tetapi ia sedikitpun tidak menjadi penghalang.
"Malah jika mereka bertindak melebihi batasan, kami tidak teragak-agak menahan mereka," katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi itu di sini malam tadi.
Katanya, dalam operasi yang diketuai Timbalan Pegawai Penguat Kuasa Imigresen I,I Mohamad Zaidi Che Morad, seorang daripada GRO ditahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen sah untuk memasuki negara ini.
Tambahnya, lapan lagi GRO ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan.
"Kesemua mereka ditahan selama 14 hari di bawah peruntukan Seksyen 51(5)(b) akta yang sama untuk siasatan dan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen, Tanah Merah," katanya.
Jelas beliau, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan ada pihak yang telah memaklumkan kepada pengusaha premis berkenaan mengenai kehadiran anggotanya untuk melakukan serbuan.

No comments:

Post a Comment