Search This Blog

Tuesday, May 11, 2010

pekerja Indonesia dipaksa makan babi

TAIPEI: Tiga pekerja Indonesia kebingungan dan ketakutan selepas majikan di sebuah kilang pinggir bandar di sini memaksa mereka makan daging babi selama tujuh bulan menyebabkan mereka mengemukakan aduan, kata sebuah kumpulan hak asasi Taiwan semalam.
Pendakwa raya Taipei 26 April lalu mensabitkan Chang Wen-lin, pemilik Shin Hua Hang Fashion Co. Ltd., kerana memaksa tiga wanita itu makan daging babi ketika mereka bekerja daripada September 2008 hingga April 20009.Dalam pertuduhan, pendakwa raya berkata Chang percaya daging itu ‘akan memberi wanita terbabit lebih stamina untuk bekerja’ dan mengancam untuk memotong gaji jika mereka tidak memakannya.
Islam mengharamkan umatnya makan babi kerana haiwan itu adalah najis berat.

Susan Chen dari Persatuan Pekerja Antarabangsa Taiwan berkata, organisasinya menjaga tiga wanita terbabit selama tiga hingga empat bulan bermula April 2009 selepas mereka memfailkan aduan dengan pihak berkuasa daerah Taipei dan dikeluarkan dari kilang itu oleh pegawai hak asasi buruh.

“Mereka amat bingung dan takut apabila datang ke pusat kami, sebahagiannya kerana mereka fikir mereka mungkin dihantar pulang,” kata Chen.

“Mereka masih menunjukkan perasaan amat takut apabila bertemu majikan mereka sekali lagi buat pertama kali selepas diselamatkan ketika satu pertemuan untuk membincangkan pertikaian pekerjaan mereka.”
Chen mengenal pasti wanita terbabit sebagai Tarsinah, Suswati dan Wasilah.
Katanya, mereka kini bekerja di tempat lain dan tidak mahu mengulas kes itu kerana bimbang ia membahayakan masa depan mereka.

Chen berkata, Chang mulanya mengambil wanita terbabit sebagai pembantu rumah, namun mereka diarah bekerja dari jam 7 pagi hingga 11 malam di kilang Chang selepas tiba di Taiwan. – AP

No comments:

Post a Comment