Search This Blog

Monday, May 24, 2010

Nahas Air India: Kotak hitam ditemui



24/05/2010 2:37am

MANGALORE, India 24 Mei - Pasukan penyiasat yang menjalankan kerja-kerja pencarian kotak hitam pesawat Boeing 737-800 Air India Express yang terhempas awal Sabtu lalu, berjaya menemuinya semalam.
Agensi berita Press Trust of India melaporkan, kotak hitam yang mengandungi perakam suara kokpit dan data penerbangan itu diharap akan memberi bukti penting berhubung punca kejadian.
Penyiasat dan pegawai penerbangan menggeledah bangkai pesawat yang berselerak di kawasan lereng bukit, tempat ia terhempas untuk mencari bukti bagi menentukan punca berlakunya malapetaka udara terburuk dalam tempoh lebih sedekad lalu itu.
Empat anggota pasukan forensik dari Amerika Syarikat (AS) turut datang ke India bagi membantu siasatan, kata seorang jurucakap Air India.
Pengerusi dan Pengarah Urusan Air India, Arvind Jadhav pula memberitahu, sehingga petang semalam, 146 daripada 158 mayat sudah dikenal pasti dan diserahkan kepada saudara-mara untuk pengkebumian.
Penerbangan dari Dubai ke Mangalore itu dilaporkan cuba mendarat ketika hujan di sebuah lapangan terbang di kawasan berbukit di selatan India, sebelum ia terbabas dari landasan, terhempas, meletup dan terbakar.
Punca kejadian masih samar dan pegawai kerajaan enggan mengulas status penyiasatan itu atau sebarang kemungkinan yang menyebabkan ia berlaku.
Kotak hitam berkenaan akan dihantar ke New Delhi hari ini untuk penafsiran kod dan penyiasatan selanjutnya.
Sementara itu, sewaktu pasukan penyiasat menarik keluar kotak hitam berkenaan dari kawasan kejadian, seorang penumpang, Kooklikkunnu Krishnan benar-benar bersyukur apabila dia antara lapan orang yang terselamat.
“Saya berfikir, kenapa saya? Kenapa saya? Dan saya hanya berfikir yang Tuhan mahu memberikan saya peluang kedua untuk hidup,” katanya yang berada di hospital di Mangalore.
Krishnan, 45, yang bertugas sebagai pekerja penyelenggaraan menaiki pesawat itu ke kampungnya di selatan India, untuk bertemu isteri dan dua orang anak perempuannya buat pertama kali dalam tempoh dua tahun. - AP

No comments:

Post a Comment