Search This Blog

Thursday, May 13, 2010

Lapor jika dikasari



KOTA BHARU - Polis Kelantan memohon kepada mana-mana kerabat diraja termasuk Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid yang mendakwa dikasari polis semasa insiden ditahan di depan Istana Mahkota tampil membuat laporan polis. 

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah Ibrahim sekali lagi menegaskan pihaknya tidak melakukan sebarang kekasaran antara pihak polis dan Raja Perempuan. 

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, tidak wujud sebarang kekasaran seperti yang didakwa itu. Pihak polis tetap dengan pendirian kita sebelum ini bahawa insiden berkenaan tidak berlaku. 

"Sekarang ini hanyalah laporan daripada media, kalau benar Tuanku Raja Perempuan dikasari seperti yang dilaporkan oleh media, pihak polis mohon kepada Tengku Anis supaya tampil membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai laporan sebuah akhbar semalam yang memetik sumber bahawa pihak Istana Mahkota kesal dengan penafian polis negeri berhubung insiden kekasaran terhadap kerabat diraja berkenaan yang mahu menziarahi Sultan Kelantan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada Selasa lalu. 

Amir berkata, siasatan terhadap sebarang kes termasuk melibatkan kes Istana akan dijalankan jika terdapat laporan polis yang dibuat. 

Katanya, semasa Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra dimasukkan ke HUSM, Pemangku Raja Tengku Muhammad Faris Petra telah menitahkan agar kawalan keselamatan dipertingkatkan dan sesiapa yang ingin menziarahi Sultan perlu mendapat perkenan Pemangku Raja.

No comments:

Post a Comment