Search This Blog

Thursday, May 13, 2010

KSSB terlibat rasuah Manikavasagam buat laporan polis



SHAH ALAM 12 Mei – Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan wujud amalan rasuah dan penyelewengan anak syarikat kerajaan negeri, bagi kegiatan melombong pasir iaitu Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB).
Beliau membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang kira-kira pukul 1 petang ini selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada pukul 9 pagi.
Beliau memberitahu, laporan polis itu dibuat setelah mendapat nasihat daripada Abdul Khalid yang memintanya mengemukakan termasuk menyerahkan bukti-bukti yang dikaitkan dengan dakwaan tersebut bagi siasatan pihak berkuasa.
“Saya buat laporan polis setelah mendengar nasihat daripada Menteri Besar. Tujuan saya bukan untuk mencari salah sesiapa atau publisiti murahan.
“Saya lakukan ini kerana ia melibatkan perkara yang serius. Saya tidak mahu ada amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam pentadbiran kerajaan negeri pada hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada 8 Mei lalu, Manikavasagam memberi Abdul Khalid tempoh 72 jam untuk membersihkan ‘kekotoran’ di kalangan pegawai atasan KSSB atau beliau membuat laporan polis berhubung dakwaan tersebut.
Bagaimanapun, Abdul Khalid dalam kenyataannya Jumaat lalu mencabar Manikavasagam membuat laporan polis jika mempunyai bukti mengenai kegiatan rasuah dan penyelewengan dalam KSSB.
Namun, setelah tempoh 72 jam berakhir Manikavasagam menangguhkan untuk membuat laporan polis semalam setelah beliau dan Abdul Khalid bersetuju untuk mengadakan perjumpaan pagi ini.

No comments:

Post a Comment