Search This Blog

Monday, May 24, 2010

Kena rogol alasan elak dibuang kolej



Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

2010/05/24

Tindakan pelajar tarik balik laporan polis diragui 

KUALA LUMPUR: Seorang penuntut kolej swasta tampil membuat laporan polis mendakwa dirogol rakan lelakinya selepas menerima surat tunjuk sebab dan akan dibuang kolej berikutan gagal menghadirkan diri ke kelas. 

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata mangsa yang berusia 18 tahun itu membuat laporan polis kira-kira jam 5 petang semalam.
Difahamkan, mangsa berbuat demikian selepas pihak pengurusan kolej meminta surat tunjuk sebab, selain akan dibuang kolej kerana kerap tidak hadir ke kelas.
“Berdasarkan laporan, remaja berkenaan yang berkenalan dengan seorang lelaki berusia 20-an di sebuah kedai berhampiran kolej tempat mangsa belajar sejak dua bulan lalu. 

“Remaja itu mendakwa dia dirogol sebulan lalu ketika menerima ajakan pergi ke rumah lelaki berkenaan di Taman Melawati,” katanya ketika ditemui, semalam. 

Abdul Jalil berkata, tujuan sebenar mangsa membuat laporan polis adalah bagi memaklumkan kepada pihak kolej dia berada dalam keadaan trauma hingga gagal hadir ke kelas. 

Katanya, selepas memaklumkan perkara itu kepada pihak kolej, remaja terbabit menarik semula laporan polis yang dibuat. 
“Bagaimanapun, polis akan terus menjalankan siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment