Search This Blog

Friday, May 14, 2010

Kastam ada senarai pemilik





KUALA LUMPUR 13 Mei - Kastam Diraja Malaysia (KDRM) mengesahkan mereka memiliki nama individu yang disenarai hitam atas kesalahan membawa wang keluar dari negara ini secara haram.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ibrahim Jaapar berkata, individu terbabit kini dalam perhatian dan siasatan pihaknya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan berapa bilangan individu yang disenarai hitam itu dan siapa yang terlibat.
"KDRM memang ada menyimpan satu senarai nama individu yang disenaraihitamkan kerana terlibat dalam kegiatan membawa wang keluar dari negara ini secara haram.
"Berapa jumlah nama dan siapa individu terlibat iaitu sama ada membabitkan mereka yang menjalankan perniagaan haram, ahli politik atau kenamaan tidak perlulah didedahkan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai pendedahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan semalam bahawa ketika ini terdapat banyak kegiatan membawa wang keluar dari negara ini secara haram.
Menurut Musa, kegiatan ini dilihat sebagai satu aliran trend jenayah membabitkan kawasan sempadan dan pintu-pintu masuk negara ini yang mampu merosakkan ekonomi negara.
Katanya, kegiatan itu adalah sebagai cubaan pihak tertentu 'membersihkan' wang mereka hasil daripada perniagaan haram seperti pelacuran dan penyeludupan manusia.
Dalam pada itu, Ibrahim berkata, KDRM sentiasa memantau kegiatan haram terbabit di semua pintu-pintu keluar negara dengan kerjasama polis dan Malaysia Airport Berhad (MAB).
"Undang-undang hanya membenarkan rakyat Malaysia membawa keluar wang dari negara ini sebanyak RM1,000.
"Membawa wang lebih daripada jumlah itu tanpa kebenaran Bank Negara Malaysia (BNM) adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment