Search This Blog

Saturday, May 8, 2010

Gaduh bola bawah lori

SEGAMAT: Angkara sebiji bola, seorang lelaki menerima lima jahitan di kepala selepas dibelasah tiga jiran yang menyangka dia pencuri di Taman Sri Cahaya, Buluh Kasap, hujung bulan lalu.
Difahamkan, mangsa dipukul ketika cuba mengambil sebiji bola kepunyaan anak saudaranya yang tersepit di bawah lori dalam kejadian pada jam 10.30 malam itu.
Terdahulu, mangsa meminta izin jirannya untuk mengambil bola yang tersepit di bawah lori, namun permintaan itu disalah erti tiga suspek berusia 22 hingga 30 tahun, sebelum mereka menyerang mangsa menggunakan tiga batang kayu golf dan sebilah parang.

Mangsa berusia 32 tahun itu cuba melawan, tapi gagal sebelum cedera parah akibat dipukul bertubi-tubi hingga rebah berlumuran darah.

Melihat mangsa berlumuran darah, tiga suspek meninggalkan mangsa sebelum keluarga mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Polis dikatakan tiba kira-kira 15 minit kemudian, sebelum menahan tiga suspek serta merampas tiga batang kayu golf serta sebilah parang panjang yang dipercayai digunakan ketika memukul mangsa.

Mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Segamat di sini, untuk menerima rawatan kecemasan sebelum membuat laporan di balai polis berhampiran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Mohd Ali, berkata siasatan mendapati lori yang diletakkan di hadapan rumah suspek dilaporkan hilang di Kampar, Perak, beberapa bulan lalu.

“Malah pemeriksaan lanjut mendapati salah seorang daripada suspek pernah mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah di Kluang.

“Polis percaya tindakan mangsa yang ingin mengambil bola di bawah lori itu menyebabkan tiga suspek salah faham kerana menyangka mangsa sebenarnya cuba memeriksa kenderaan,” katanya.

Abdul Majid berkata, sehingga kini pihaknya masih menyiasat kaitan antara penemuan lori curi yang ditemui di hadapan rumah tiga suspek, sama ada mereka turut terbabit dalam jenayah lain.

Kes itu, katanya, disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana mendatang kecederaan.

No comments:

Post a Comment