Search This Blog

Saturday, May 8, 2010

Empat pelajar gagal isytihar PPSMI tidak sah



KUALA LUMPUR 7 Mei - Usaha empat pelajar termasuk anak bekas Menteri Besar Perak untuk mengisytiharkan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah sebagai batal dan tidak sah, gagal apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman pemula mereka.
Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan yang mewakili Kerajaan Malaysia selaku responden ketika ditemui pemberita memberitahu bahawa Hakim Datuk Mohd. Zawawi Salleh membuat keputusan itu di kamar beliau pagi ini.
Menurut Suzana, saman pemula pemohon ditolak dengan kos setelah hakim mendapati surat pekeliling ikhtisas yang dikeluarkan berhubung PPSMI di Sekolah Kebangsaan mahupun Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, tidak bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967.
Suzana menjelaskan, ini kerana bahasa Melayu kekal sebagai bahasa pengantar utama di sekolah.
Pada 21 Januari 2006, Mohammad Syawwaal Mohammad Nizar yang ketika itu pelajar tahun empat mengemukakan permohonan melalui bapanya, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, seorang jurutera yang juga bekas menteri besar Perak.
Selain Mohammad Syawwaal, pemohon terdiri daripada dua pelajar tingkatan tiga, Mohammad Fadzil Nor Mohd. Rosni dan Nur Najihah Muhaimin serta Syazaira Arham Yahya Ariff, pelajar tingkatan empat, melalui bapa masing-masing.
Dalam saman pemula tersebut pemohon mendakwa, hak mereka sebagai pelajar untuk mempelajari dua mata pelajaran itu dalam bahasa kebangsaan telah dinafikan dengan adanya dasar tersebut.
Sehubungan itu, mereka memohon agar mahkamah memerintahkan pihak responden menukar semula dasar itu menurut kehendak dan peruntukan Perlembagaan dan Undang-Undang Bertulis.
Pemohon turut memohon perisytiharan bahawa responden tiada kuasa melaksanakan dasar pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris seperti yang terkandung dalam Surat Pekeliling Ikhtisas bertarikh 27 November 2002.

No comments:

Post a Comment