Search This Blog

Saturday, May 15, 2010

Empat lelaki tanya arah jalan samun warga emas

2010/05/15
AMPANG: Masih ada insan yang tidak berhati perut apabila sanggup menjadikan orang yang tidak berdaya sebagai mangsa samun mereka.
Terbaru, seorang wanita warga emas yang menyiram pokok bunga di halaman rumahnya di Lorong Enggang, Taman Keramat di sini, menjadi mangsa apabila gelang dan rantai emas miliknya dilarikan sekumpulan empat lelaki.
Pada mulanya, mangsa menyangkakan empat lelaki itu mahu bertanya arah jalan namun tiba-tiba seorang daripada mereka mengeluar dan mengacukan parang kepadanya.

Menurut sumber polis, kejadian berlaku Isnin lalu kira-kira jam 5 petang ketika mangsa berseorangan sebelum didatangi empat lelaki menunggang dua motosikal.

“Mereka bertanyakan arah jalan kepada warga emas terbabit dan wanita itu yang langsung tidak mengesyaki mereka berniat buruk cuba menunjukkan arah,” katanya.

Sumber itu berkata, kumpulan lelaki terbabit bukan mahu bertanyakan arah jalan, tetapi mereka hanya memerhatikan barang kemas dipakai mangsa.

“Melihatkan keadaan lengang dan tiada orang lain ketika itu, dua daripada mereka meluru masuk ke halaman rumah mangsa.

“Mereka yang bersenjatakan parang itu mengacukan senjata terbabit kepada mangsa dan meminta dia mendiamkan diri “Tanpa belas kasihan, dua lelaki terbabit merentap rantai leher dan gelang emas milik mangsa sebelum melarikan diri,” katanya.

Mangsa yang mengalami kerugian kira-kira RM1,000 itu membuat laporan di Balai Polis Ulu Klang.

No comments:

Post a Comment