Search This Blog

Thursday, May 13, 2010

Dikepung Geng Kelawar Hijau

KUALA TERENGGANU: Satu keluarga dari Kampung Durian Mas, Manir, dekat sini, kini dihantui kebimbangan selepas sekumpulan lelaki menggelarkan diri sebagai Geng Kelawar Hijau mengepung kediaman mereka ketika mencari anak lelaki keluarga berkenaan.
Tindakan itu memaksa beberapa individu menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan namun sebaik pihak berkuasa tiba, kumpulan terbabit sudah pun beredar dari kediaman terbabit.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Perundangan), Superintendan K Manoharan berkata, sepasukan anggota polis dihantar ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat perkara itu namun setakat ini, polis tidak menerima laporan rasmi berhubung kehadiran kumpulan lelaki di rumah dimaksudkan.

“Memang ada pihak menghubungi polis dan sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian tetapi sebaik tiba, kami mendapati tiada apa yang berlaku malah sehingga hari ini tiada sebarang laporan polis diterima mengenai kegiatan itu (kepungan),” katanya.

Sementara itu, mangsa, Tengku Zulkifli Tengku Mansor, 30, berkata segala-galanya bermula selepas dia membuat laporan polis berhubung tindakan seorang ahli kumpulan terbabit yang memeras ugut serta merampas wang RM650 dan telefon bimbitnya, Sabtu lalu.

Katanya, ketika itu seorang rakan memintanya membeli makanan sebelum menghantarnya ke sebuah hotel murah di pusat bandar namun sebaik saja memasuki hotel disewa rakannya itu, muncul dua lelaki dipercayai bersubahat dengan rakannya itu yang kemudian menyerangnya.

“Saya gagal mempertahankan diri selepas mereka mengacu sebilah pisau di perut serta merampas wang RM650, telefon bimbit dan kunci motosikal sebelum ketiga-tiganya melarikan diri.

“Kerana terlalu takut, saya berlari meminta pertolongan peniaga di Pasar Besar Kedai Payang yang mengesan mereka, bagaimanapun ketiga-tiga mereka dapat melarikan diri dan meninggalkan sebuah motosikal.

“Saya dan rakan lain merampas motosikal mereka dengan harapan wang serta barangan dirampas itu dikembalikan tetapi mereka berdegil dan enggan bekerjasama sebelum membawa motosikal itu ke Balai Polis Tepuh dan membuat laporan mengenai kejadian itu,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Menurutnya, kerana tidak berpuas hati, sekumpulan lelaki menggelarkan diri ahli Geng Kelawar Hijau mengepung rumahnya kelmarin dan ketika kejadian hanya ibu dan ayahnya di rumah.

“Hampir semua motosikal yang datang ke rumah saya mempunyai logo kelawar dan kumpulan itu lebih daripada 100 orang menyebabkan penduduk mendapatkan bantuan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Durian Mas, Zulkifli Mat Min untuk meredakan keadaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment