Search This Blog

Tuesday, May 11, 2010

Datuk tipu penduduk

KUALA LUMPUR: Menggunakan kepetahan bercakap selain janji manis, seorang lelaki yang menyamar datuk hampir menipu penghuni sebuah pangsapuri di Sentul dengan meminta mereka melaburkan wang untuk menjalankan beberapa projek.
‘Datuk’ terbabit dikatakan baru dilantik sebagai pengerusi penduduk sejak dua minggu lalu, namun kerana ragu status lelaki itu seorang penduduk membuat laporan polis, semalam.
Menurut sumber, lelaki terbabit pada mulanya memberitahu dia pengerusi penduduk bertanggungjawab menaikkan imej kawasan berkenaan.

“Lelaki terbabit mengatakan yang dia akan melaksanakan beberapa projek untuk kesenangan penduduk di masa depan.

“Namun, dia meminta penduduk menghulurkan bantuan dengan cuba meminta mereka memberikan wang jika mahukan projek terbabit berjalan,” katanya.

Sumber terbabit berkata, mereka pada mulanya terpengaruh dan hampir mempercayai kata-kata lelaki terbabit selain yakin statusnya.

“Bagaimanapun, seorang penduduk mencurigai kata-kata lelaki terbabit mula membuat pemeriksaan untuk mengenal pasti status ‘Datuk’ terbabit.

“Penduduk berkenaan membuat pemeriksaan dengan pihak istana dan dia terkejut apabila tiada senarai nama lelaki terbabit berstatus Datuk membuatkan dia mula mengesyaki yang mereka kemungkinan ditipu,” katanya.

Katanya, bagi membuktikan kesahihan status itu, penduduk berkenaan membuat pemeriksaan akaun bank, kad pengenalan dan alamatnya.

“Penduduk berkenaan terkejut kerana segala butiran yang diberikan itu langsung tidak betul dan membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan memberitahu siasatan masih dijalankan.

Difahamkan, lelaki terbabit pada mulanya membuat perjumpaan bersama penduduk pangsapuri berkenaan, namun tingkah laku dan janjinya ketika berucap membuatkan beberapa penduduk mula curiga.

No comments:

Post a Comment