Search This Blog

Thursday, May 13, 2010

Dakwa dalang banjir: Abdullah

JEDDAH: Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah, mengarahkan agar pegawai kerajaan yang bertanggungjawab menyebabkan banjir kilat mengorbankan 122 orang tahun lalu, didakwa di mahkamah.
Banjir itu berpunca daripada hujan lebat di Jeddah sehingga merosakkan ribuan rumah di pinggir tebing sungai kering.

Ia juga mencetuskan tanda tanya terhadap pengurusan dana awam dikhaskan untuk menyelenggara sistem perparitan di bandar raya pinggir Laut Merah itu.

Arahan Abdullah dibuat selepas hujan lebat mengorbankan tiga orang penduduk Riyadh minggu lalu, sekali gus mendedahkan kelemahan infrastruktur serta menimbulkan rasa tidak puas hati masyarakat terhadap tahap ketelusan kerajaan.

Abdullah yang sering mengulangi ikrarnya membasmi rasuah dalam kerajaan, turut mengarahkan sebuah jawatankuasa penyiasat dibentuk bagi mencari punca bencana di Jeddah.
“Berdasarkan kesan bencana itu, kerajaan akan mendapatkan kebenaran dan menghukum mana-mana pihak yang bersalah,” katanya, semalam.

Bagaimanapun, kenyataan Abdullah tidak menamakan mana-mana pegawai serta jumlah kakitangan kerajaan yang terbabit.
Seorang peguam yang terbabit secara langsung dalam siasatan kes itu berkata, kira-kira 200 orang berdepan tuduhan rasuah serta salah guna dana awam.

“Mereka termasuk kontraktor yang menjalankan projek kerajaan serta kakitangan kanan kerajaan,” katanya.
- Reuters

No comments:

Post a Comment