Search This Blog

Thursday, May 13, 2010

Cubaan seludup beras bernilai RM100,000 gagal

BUKIT KAYU HITAM: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah merampas 36 tan beras siam wangi bernilai lebih RM100,000 yang cuba diseludup masuk ke negara ini dari Thailand, kelmarin.

Bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota UPP diketuai Komander Kawasan UPP, Wan Mazlan Endut, menahan sebuah lori treler dipandu seorang lelaki tempatan yang sarat dengan muatan 720 kampit beras Siam wangi di sebuah stesen minyak Petronas di Jitra, dekat sini, jam 7.30 malam.
Komander UPP Kedah, Mohd Noor Idris, berkata selepas menjalankan siasatan, pihaknya mendapati pemandu lori treler itu yang berusia 31 tahun tidak membawa sebarang dokumen sah berkaitan bagi membolehkannya membawa masuk beras itu dari Thailand ke negara ini.
Beliau berkata, selain tidak mempunyai dokumen sah, nombor pendaftaran pada lori treler berkenaan juga tidak sama dengan cukai jalan yang dipaparkan pada cermin kenderaan itu.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan juga pihaknya mendapati beras siam wangi yang cuba diseludup itu bernilai sekurang-kurangnya RM72,000 dengan jumlah cukai yang cuba dielak kira-kira RM28,800.

“Kita percaya ia adalah kegiatan terancang sindiket penyeludupan beras siam wangi ke negara ini dan pemandu terbabit hanya bertindak sebagai perantara.

“Kita juga menahan pemandu yang berasal dari Kuala Kurau, Perak itu untuk membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Mohd Noor berkata, kes berkenaan akan diserahkan ke bahagian penguatkuasaan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

No comments:

Post a Comment