Search This Blog

Tuesday, May 11, 2010

Bekas CEO Mied ditahan SPRM kerana penyelewengan wang



KUALA LUMPUR 10 Mei - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), P. Chithirakala ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setelah dikaitkan dengan penyelewengan wang entiti MIC itu berjumlah kira-kira RM4 juta.
Pengarah Siasatan SPRM, Mustafar Ali berkata, Chithirakala ditahan pada pukul 2.30 petang ini selepas memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya dekat sini.
"Beliau (Chithirakala) diminta hadir untuk memberi keterangan kepada SPRM berhubung kes penipuan berjumlah RM4 juta tengah hari ini sebelum ditahan selepas itu.
"Bagaimanapun Chithirakala dibebaskan beberapa jam selepas itu dengan jaminan sebanyak RM100,000," katanya di sini hari ini.
Mustafar turut mengesahkan yang Chithirakala akan didakwa di mahkamah esok.
Sebelum ini, polis pernah menyiasat MIED berhubung pembinaan dan penyelenggaraan Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) selepas anggaran kos awal universiti itu melonjak dari RM230 juta kepada RM500 juta.
AIMST yang terletak di Semeling, Kedah, mula dibuka 18 bulan lalu sebagai hasrat MIC memiliki dan menguruskan sebuah universiti.
Sementara itu pada 25 Januari lalu, beberapa pegawai SPRM menyerbu pejabat MIED di bangunan Ibu Pejabat MIC, Jalan Rahmat bagi membolehkan pihaknya mengumpulkan data serta bukti berkaitan siasatan.
Dalam serbuan kira-kira dua jam itu, SPRM dikatakan telah merampas beberapa dokumen dan fail.
Difahamkan SPRM juga telah merekodkan keterangan beberapa saksi termasuk dua pemimpin kanan MIC yang merupakan pemegang amanah akaun MIED itu selain para pekerjanya.

No comments:

Post a Comment