Search This Blog

Thursday, May 13, 2010

Beg dadah RM240,000

KUALA LUMPUR: Masuk ke negara ini kononnya untuk melanjutkan pelajaran, tetapi sebenarnya menjalankan kegiatan menyeludup dadah sebagai satu cara mudah untuk menjadi kaya.
Ini yang dilakukan dua lelaki warga Afrika berstatus pelajar itu ketika cuba menyembunyikan lebih 3.1 kilogram (kg) dadah dipercayai jenis heroin dalam sebuah beg di Bukit Bintang, di sini sebelum ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Kuala Lumpur dan Bukit Aman, kira-kira jam 5.15 petang, semalam.
Ketua JSJN Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, berkata pemeriksaan lanjut mendapati dadah itu diisi dalam sebungkus plastik lutsinar dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan ialah RM240,000.

“Mereka yang berusia 28 tahun dan 22 tahun terbabit ditahan selepas dipercayai baru sahaja menerima beg yang berisi bungkusan dadah berkenaan daripada seseorang atau kumpulan berkemungkinan untuk diproses sebelum dijual semula.

“Kita (polis) percaya dadah itu akan diproses semula untuk dijadikan saiz yang lebih kecil dan jika dijual boleh mencapai nilai sehingga RM1.8 juta. Dadah itu juga kemungkinan untuk pasaran tempatan atau diseludup semula ke negara luar,” katanya.

Difahamkan, kedua-dua suspek adalah pelajar jurusan pengurusan perniagaan di sebuah kolej swasta, dan seorang suspek baru tiga minggu memasuki negara untuk melanjutkan pengajiannya.

Menurutnya, hasil ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati suspek pertama yang berusia 28 tahun itu adalah negatif manakala suspek kedua pula positif ganja. “Suspek ditahan reman tujuh hari bermula 9 Mei lalu bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, semalam. Katanya, polis akan menjalankan siasatan terperinci terutama mencari individu lain yang mempunyai kaitan dengan suspek, sekali gus mengenal pasti punca bekalan dadah itu diperolehi.

Kang berkata, dari Januari sehingga Mac tahun ini, polis berjaya menahan 14 warga Afrika yang terbabit dalam aktiviti dadah.

“Mengikut statistik 2009, seramai 502 orang berjaya ditangkap kerana terbabit di dalam semua aktiviti dadah. Daripada jumlah itu, 24 adalah warga Afrika. “Mereka menggunakan pelbagai cara untuk menyeludup masuk dadah ke negara ini sehingga menyukarkan polis mengesannya,” katanya.

No comments:

Post a Comment