Search This Blog

Monday, May 24, 2010

2 suspek kes rompakan diburu



PULAU PINANG 23 Mei - Polis memburu dua lelaki yang amat dikehendaki kerana dipercayai terlibat dalam kes rompakan wang tunai RM160,000 daripada sebuah van keselamatan di Jalan Paya Terubong di sini Rabu lalu.
Kedua-dua mereka ialah Sawal Ahmad, 50, dan Mirza Martias, 38, yang disyaki merupakan saki baki ahli kumpulan tersebut.
Polis turut menyifatkan kumpulan berkenaan amat ganas dan berbahaya, malah tidak teragak-agak menggunakan senjata api jika berdepan dengan pihak berkuasa.
Sehingga kini, polis telah menahan tujuh individu termasuk seorang wanita dan seorang lelaki dari Acheh, Indonesia, berusia antara 38 dan 50 tahun bagi membantu siasatan kes tersebut.
Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, siasatan mendapati seorang daripada suspek yang sedang diburu mempunyai rekod jenayah lampau.
Beliau berkata, malah kedua-dua juga dikesan sering keluar masuk ke negara jiran bagi tujuan 'tertentu.'
"Kumpulan itu dikesan sering terlibat dalam rompakan membabitkan syarikat keselamatan yang membawa wang tunai dan mereka telah merancang beberapa siri rompakan di sini dan negeri berdekatan.
"Selain itu, kita juga sedang giat menjalankan siasatan jenayah lain yang dilakukan kumpulan tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Asisten Komisioner Roslee Chik dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Supritendan Mohd. Nashir Ya.
Dalam kejadian Rabu lalu, tiga lelaki bersenjatakan sepucuk pistol dan raifal berjaya melarikan wang tunai RM160,000 dari sebuah van keselamatan di Jalan Paya Terubong, Air Itam di sini dalam tempoh hanya tiga minit.
Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 12.30 tengah hari ketika van berkenaan dengan tiga pengawal yang bertugas sedang melakukan kutipan harian di dua buah pasar raya di Bayan Baru dan Taman Lip Sin di sini.
Keesokan harinya, polis telah menahan seorang pengawal keselamatan berusia 50 tahun bagi membantu siasatan dan seramai enam lagi ditahan di beberapa tempat berasingan di sini semalam.
Dalam serbuan itu, polis berjaya menemui semula sebahagian daripada wang yang dirompak berjumlah RM54,000 dan turut menemui dua laras raifal AK-47 buatan China, dua pucuk revolver .38, beberapa butir peluru dan butir bom tangan.
Selain itu, polis juga merampas kelengkapan seperti pakaian kalis peluru buatan sendiri diperbuat daripada kepingan-kepingan plat besi yang dimasukkan ke dalam jaket semasa melakukan samun.

No comments:

Post a Comment