Search This Blog

Tuesday, April 6, 2010

Tiga penjenayah ditembak mati





ASISTEN Komisioner T. Narenasegaran (tengah) menunjukkan beberapa barang hasil samun dan peralatan yang digunakan untuk memecah rumah yang digunakan oleh tiga perompak warga negara asing yang ditembak mati oleh polis di Mentakab awal pagi semalam.


TEMERLOH 5 April - Tiga penjenayah warga asing yang bertanggungjawab melakukan lapan kes samun di negeri ini ditembak mati, tidak sampai setengah jam selepas menyamun sebuah rumah di Jalan Taman Jelutung, Mentakab, dekat sini, awal pagi ini.
Ketiga-tiga suspek terbabit ditembak setelah cuba menyerang polis menggunakan parang sejurus selepas kereta yang mereka naiki terbabas ketika dikejar dalam kejadian pada pukul 4.15 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner T. Narenasegaran berkata, kesemua penjenayah berusia antara 20 dan 30 tahun itu mati di tempat kejadian.
"Sebelum kejadian, beberapa anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah menerima maklumat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh mengenai satu rompakan di rumah bernombor 140, Bukit Keramat pada pukul 3.45 pagi.
"Pasukan polis terbabit bergegas ke lokasi kejadian dan terserempak dengan kereta Proton Wira berwarna kelabu yang dinaiki oleh suspek tidak jauh dari situ," katanya di sini hari ini.
Menurut Narenasegaran, polis mengekori kereta tersebut hingga ke Jalan Taman Jelutung di sini menghala ke Taman Rimba, Mentakab sebelum mengarahkan kereta suspek supaya berhenti.
Bagaimanapun katanya, suspek cuba melarikan diri dengan memecut kereta berkenaan tetapi akhirnya terbabas berhampiran tebing bukit di taman perumahan tersebut.
Ketiga-tiga suspek berkenaan ujarnya, kemudian bertindak keluar dari kereta dengan masing-masing menggenggam sebilah parang untuk menyerang anggota polis.
"Ekoran itu, polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri dan ketiga-tiga penjenayah terbabit mati di tempat kejadian," ujarnya.
Menurut beliau, polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan pada diri daripada semua penjenayah tersebut.
"Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui empat bilah parang panjang, seutas rantai, empat bentuk cincin, wang tunai RM374, 130,000 rupiah (RM46), seunit telefon bimbit, satu alat pemotong besi dan kuku kambing.
"Mereka dipercayai melakukan samun di Temerloh, Maran, Bera dan Kuala Lipis," katanya.
Katanya, suspek juga menggunakan kereta curi dengan nombor pendaftaran palsu DAG 6625 yang dilaporkan hilang di Kajang tahun lalu.
Kes tersebut, katanya, disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment