Search This Blog

Saturday, April 24, 2010

Suami isteri didenda RM5,000 tinggal anak tanpa jagaan



JOHOR BAHRU 23 April - Sepasang suami isteri yang menganggur hari ini didenda RM5,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini setelah mengaku bersalah mengurung anak perempuan mereka di dalam sebuah bilik selama 17 jam.
Akun Usop, 37, dan isterinya, Mariana Romut, 23, kedua-duanya berasal dari Sarawak didakwa membiarkan Nur Aisyah yang berusia dua setengah tahun tanpa pengawasan di sebuah apartmen di sini pada 17 April lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membiarkan kanak-kanak tanpa jagaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Fakta kes menyebut, pasangan terbabit mengaku meninggalkan anak mereka dan membekalkannya dengan sepinggan nasi antara pukul 5.30 pagi hingga 10.30 malam hari tersebut semasa mereka keluar mencari pekerjaan di Singapura.
Ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hafizah Johor Ariff Johor, Akun kelihatan tunduk sedih sementara Mariana tidak menunjukkan sebarang reaksi.
Mereka yang tidak diwakili peguam dalam rayuan hanya memohon hukuman diringankan tanpa memberikan sebarang alasan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Iffa Zarilla Abdul Rahman.
Dalam kes berasingan, seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan memiliki tujuh gram heroin minggu lalu.
Lokman Daud, 35, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Setia, Kampung Melayu Majidee pukul 8.30 malam pada 17 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Hakim Salawati Djambari menetapkan sebutan semula kes pada 23 Jun ini sementara menunggu laporan kimia.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azreen Yas Mohamad Ramli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

No comments:

Post a Comment