Search This Blog

Sunday, April 11, 2010

Saya sudah tawar hati



Oleh ZAITIE SATIBI
am@hmetro.com.my
2010/04/11
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUANTAN: “Saya tidak akan kembali kepadanya (suami) selepas apa dia lakukan terhadap saya. Saya juga takut perkara sama berulang jika saya kembali,” kata tukang cuci yang parah disimbah cuka getah oleh suaminya, dipercayai akibat menolak permintaan untuk ‘bersama’, Rabu lalu.
Menceritakan semula perkenalan dengan suaminya berusia 43 tahun itu, mangsa berkata, perkahwinan mereka diatur rakan berikutan ketika itu dia berstatus ibu tunggal anak dua selepas kematian suami yang juga peneroka Felda Bukit Sagu Dua, di sini.

“Suami pertama meninggal dunia akibat terjatuh ke dalam lombong. Selepas itu saya hidup bersendirian memelihara dua anak yang masih kecil sehingga diperkenalkan dengan suami kedua oleh rakan.

“Saya tidak mengenalinya secara rapat dan hanya menurut permintaan rakan yang bimbang saya hidup sendirian selepas bergelar balu,” katanya ketika ditemui di Wad Kebakaran, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas menerima kunjungan Skuad Sayang, Wanita Umno Pahang, di sini, semalam.

Mangsa berkata, perkahwinan keduanya tidak seperti diimpikan apabila selepas tiga bulan melayari alam rumah tangga, suami keduanya mula menunjukkan belang.

“Suami saya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan sering meminta wang daripada saya. Dia juga suka berjudi dan membeli nombor ekor.

“Perangai buruknya semakin menjadi-jadi apabila dia kerap menghilangkan diri sebelum kembali semula ke rumah dalam keadaan marah-marah. Dia juga tidak boleh menerima teguran dan penyudahnya tubuh saya lebam dipukul,” katanya.

Mangsa berkata, dia pernah cedera di perut ketika berpantang selepas melahirkan anak bongsu akibat dibaling dengan batu tungku, selain diterajang gara-gara menolak permintaan suami mengadakan hubungan kelamin.

“Sejak itu dia tidak pernah memukul saya lagi, namun sikap berjudi dan pemarahnya tidak hilang. Dia juga beberapa kali mengugut untuk menghantar saya tinggal di wad hospital.

“Apa dikatakannya benar-benar dilakukan apabila dia tergamak menyimbah cuka getah ketika kami bertengkar pada hari kejadian,” katanya.

Mangsa berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 1 pagi, dia terhidu niat suaminya apabila ternampak lelaki itu membuat campuran cuka getah dan air dalam besen di dapur rumah mereka.

“Saya bangun dari tempat tidur untuk melarikan diri, tetapi dihalang dengan parang sebelum disimbah cuka getah. Anak bongsu yang tidur bersama saya turut terkena percikan bahan berasid itu di mukanya.

“Kejadian itu turut dilihat anak sulung kami berusia 17 tahun yang cuba membantu saya tetapi dia juga dihalang daripada mendekati saya dengan parang,” katanya yang beberapa kali menuntut cerai.

Katanya, tindakan suaminya disebabkan tekanan akibat tidak dapat menerima hakikat bahawa rumah tangga mereka akan berakhir dengan perceraian.

“Saya sudah tawar hati untuk meneruskan perkahwinan kerana sikapnya yang tidak mahu berubah. Malah, kami beberapa kali merujuk masalah ini di Mahkamah Syariah tetapi tiada jalan penyelesaian,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Skuad Sayang negeri merangkap Ketua Wanita Umno Pahang, Datuk Rosni Zahari, berkata pihaknya akan membantu mangsa daripada segi kaunseling bagi memulihkan semangatnya, di samping mendapatkan bantuan agensi berkaitan untuk menyelesaikan masalahnya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan hamper dan wang tunai kepada mangsa. Turut hadir, Komandan Skuad Sayang kebangsaan, Datin Reny Rahayu Mohd Ishak dan Pesuruhjaya Skuad Sayang, Wanita Umno Bahagian Paya Besar, Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman.

No comments:

Post a Comment