Search This Blog

Friday, April 16, 2010

Polis tumpas kumpulan Yunus selepas tahan lima lelaki




TEMERLOH 16 April – Polis berjaya melumpuhkan kegiatan rompakan dan samun bersenjata yang dilakukan satu kumpulan penjenayah yang dikenali sebagai Kumpulan Yunus selepas memberkas lima lelaki warganegara Indonesia dan seorang wanita tempatan di Kuala Krau dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Ahmad Fadzillah Mohamed berkata, lima lelaki yang berumur antara 36 dan 42 tahun yang ditahan di sebuah rumah pada kira-kira pukul 11 pagi itu dipercayai mula terbabit dengan kegiatan rompak dan samun sejak awal tahun lepas.
Beliau berkata, kelima-lima mereka ditangkap selepas merompak sebuah rumah di Kampung Kelibang, Kerdau, dekat sini pada kira-kira pukul 3.30 pagi.
"Bertindak di atas maklumat, pasukan polis dengan kerjasama pasukan Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pahang yang melakukan intipan berjaya mengesan tempat persembunyian mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, polis turut menemui beberapa barang hasil rompakan di dalam rumah itu seperti komputer riba, barangan kemas, wang tunai dan telefon bimbit selain beberapa peralatan yang digunakan untuk melakukan rompakan seperti pemotong besi, batang paip, pemutar skru dan beberapa bilah parang. – Bernama

No comments:

Post a Comment