Search This Blog

Wednesday, April 21, 2010

Penarik kereta maut berlumba


SHAH ALAM: Seorang penarik kereta dipercayai berlumba, maut
selepas kenderaan dipandunya hilang kawalan sebelum melanggar
 pokok dan terhumban dalam longkang di Kilometer 13.2 Lebuhraya
Persekutuan di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.45 malam, mangsa berusia 23, mati di tempat
 kejadian akibat parah di seluruh badan.
Difahamkan beberapa saksi yang melihat kejadian itu mendakwa mangsa
dipercayai berlumba dengan sebuah kenderaan lain sebelum kereta
Proton Satria Neo itu hilang kawalan dan terbabas.


Jurucakap polis berkata, ketika kejadian, mangsa memandu
kenderaan dari arah Klang menuju ibu kota.

“Kami percaya kenderaan ini dipandu laju berikutan kesan
brek di laluan tengah sehingga 80 meter ke arah sebatang
pokok yang dirempuh mangsa di bahu kiri jalan.


“Kesan rempuhan kuat itu, kenderaan mangsa melambung
 sebelum terjatuh dalam longkang sejauh 17.3 meter
 menyebabkan dia parah di kepala dan badan,” katanya
di sini, semalam.


Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan
Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat sebelum diserahkan
 kepada ahli keluarganya untuk pengebumian.


Jurucakap berkata, polis mengambil sampel darah
mangsa untuk dihantar ke Jabatan Kimia untuk ujian
dadah serta alkohol untuk memastikan kemungkinan
ketika kejadian mangsa memandu di bawah pengaruh
alkohol atau tidak.


Polis juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat
 kejadian itu supaya tampil ke Cawangan Trafik Ibu Pejabat
Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi membantu siasatan atau
 boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ahmad
Fazuan Md Zain di talian, 012-2469026 atau 03- 55102222.

No comments:

Post a Comment