Search This Blog

Wednesday, April 21, 2010

Paderi 83 tahun ditahan kes cabul



SAO PAULO 20 April - Polis Brazil menahan seorang paderi berusia 83 tahun selepas timbul dakwaan dia mencabul kehormatan budak-budak lelaki semuda 12 tahun.
Dakwaan yang dibangkitkan dalam sesi keterangan di Kongres Brazil itu memarakkan lagi skandal gereja yang semakin merebak membabitkan golongan paderi Roman Katolik di seluruh Amerika Latin.
Dakwaan fidofilia terhadap paderi Luiz Marques Barboso adalah antara skandal seks paling sensasi yang melanda gereja Roman Katolik di benua ini sejak kebelakangan ini.
Kes itu bertambah sensasi ekoran tindakan sebuah stesen televisyen menyiarkan rakaman video menunjukkan Barbosa di atas katil bersama seorang remaja berusia 19 tahun. Rakaman itu turut tersebar secara meluas di Internet.
Ahli Kongres yang mengetuai siasatan kes penderaan seksual itu, Senator Magno Malta berkata, penahanan Barbosa lewat kelmarin menandakan satu kejayaan besar dalam kempen memerangi penderaan kanak-kanak di Brazil.
Beliau berkata, siasatan itu bukanlah serangan ke atas gereja tetapi ke atas penderaan kanak-kanak.
Namun, Barbosa ditahan ketika tuduhan demi tuduhan dilemparkan terhadap paderi di Amerika Latin kerana didakwa melakukan penderaan seksual ke atas kanak-kanak.
Turut menimbulkan kontroversi ialah kenyataan yang dibuat di Chile minggu lepas oleh orang kanan Pope Benedict XVI yang mendakwa punca utama penderaan tersebut ialah amalan homoseks dan bukan cara hidup membujang yang diamalkan oleh paderi.
Kenyataan itu dilihat bercanggah dengan aduan yang turut dibuat oleh kanak-kanak perempuan dan wanita di Amerika Latin yang mengaku menjadi mangsa penderaan oleh paderi.
Skandal-skandal itu mendapat liputan meluas media di seluruh Brazil, negara yang mempunyai lebih ramai penganut Roman Katolik berbanding negara lain di dunia. - AP

No comments:

Post a Comment