Search This Blog

Tuesday, April 6, 2010

Mati ditembak 2 das di kepala



BUKIT MERTAJAM 5 April - Seorang lelaki mati setelah ditembak dua das di kepalanya ketika sedang berehat di rumahnya di Taman Sukun Indah, di sini malam tadi.
Mangsa, Ang Hock Kee (gambar), 55, ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki yang tiba-tiba memasuki rumahnya kira-kira pukul 11 malam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Abd. Lah berkata, ketika kejadian, mangsa berada di ruang tamu rumah bersama dua rakan yang mengunjungi rumahnya.
"Seorang rakan mangsa berada sama di ruang tamu manakala seorang lagi berada di tingkat atas.
"Seorang lelaki bertopeng kemudian tiba-tiba masuk melalui pintu rumah yang tidak berkunci sebelum menembak mangsa dengan dua das tembakan sebelum melarikan diri," katanya di sini hari ini.
Azman berkata, mangsa yang belum berkahwin dan tinggal bersendirian di rumah itu mati di tempat kejadian manakala dua rakannya tidak dicederakan.
Katanya, berdasarkan keterangan awal rakan mangsa, suspek dipercayai menaiki motosikal.
"Setakat ini, kita masih mengumpul maklumat berdasarkan keterangan rakan mangsa dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui motif sebenar kejadian," tambahnya.
Beliau berkata, belum ada sebarang tangkapan dibuat setakat ini dan kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di talian 04-5382222 atau balai-balai berhampiran untuk membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment