Search This Blog

Friday, April 23, 2010

Mahkamah benarkan Rasidi dirawat sebulan lagi



SEREMBAN 22 April - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Hospital Permai, Johor Bahru untuk menyambung tempoh rawatan tertuduh, Rasidi Ismail selama sebulan lagi.
Rasidi, 32, didakwa atas empat pertuduhan, menyebabkan kematian ahli keluarga terdiri daripada datuk dan neneknya, Atan Daud, 87; Sufiah Katas, 80; bapa, Ismail Awang, 76; serta adik perempuannya, Siti Khadijah Ismail, 22.
Pembunuhan itu didakwa dilakukan oleh penganggur terbabit di dua rumah di Kampung Batang Rokan, Gemencheh antara pukul 7 dan 11 pagi, 5 Januari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Sahaharuddin Wan Ladin memaklumkan bahawa pihak hospital memerlukan lanjutan masa bagi melengkapkan laporan tahap kesihatan mental tertuduh.
"Yang Arif mempunyai bidang kuasa untuk melanjutkan tempoh sebulan lagi jika laporan tersebut didapati masih belum selesai," katanya.
Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin sehubungan itu menetapkan 21 Mei ini untuk mendengar keputusan mengenai rawatan serta laporan terperinci kesihatan mental Rasidi.
"Saya berharap pada tarikh itu semua laporan telah disiapkan dan kita akan lihat apa yang dinyatakan (hospital).
"Mahkamah akan menulis surat kepada hospital untuk mempercepatkan laporan," katanya.
Hakim Ahmad Nasfy kemudian bertanya kepada Rasidi sama ada tertuduh telah menjalani rawatan di hospital seperti yang diputuskan oleh mahkamah sebelum ini.
"Ya, saya telah menjalani rawatan dua kali di Hospital Sultanah Aminah dan tiga kali di Hospital Permai. Kedua-duanya di Johor Bahru. Dan sehingga kini saya masih dirawat di hospital," jelas Rasidi yang diwakili peguam bela, Hanif Hassan.
Sementara itu, ibu Rasidi, Zaharah Atan, 59, ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, dia akan terus menunggu kesudahan perbicaraan anaknya tanpa rasa jemu.
"Saya akan tunggu sehingga tempoh yang ditetapkan untuk mendengar keputusan pihak hospital dan juga penghakiman yang bakal diputuskan mahkamah ini kelak," katanya sebelum beredar.

No comments:

Post a Comment