Search This Blog

Tuesday, April 27, 2010

Lelaki mati ditetak




SUNGAI LIDIN – Mayat seorang lelaki ditemui terbaring dalam longkang di tepi jalan raya di Kampung Sungai Lidin, kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, kejadian berkenaan berlaku pada kira-kira jam 7 malam kelmarin. 

Menurutnya, mangsa adalah A Selvam berusia 38 tahun tinggal di Taiping, disyaki dibunuh dan terdapat beberapa kesan luka di badan khususnya di bahagian dada. 

“Sebuah motosikal Yamaha Lagenda dipercayai dinaiki mangsa juga ditemui di jalan itu dalam keadaan kemek seperti bekas kemalangan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, di sini, semalam. 

Beliau berkata, di bahagian dada mangsa terdapat dua kesan tetakan dan kes ini diklasifikasikan sebagai kes bunuh serta disiasat di bawah Seksyen 302. 

Katanya, sebelum ini mangsa pernah terlibat dalam kes dadah dan ditangkap kerana memiliki dadah di bawah Akta Dadah Merbahaya 39B. 

“Sekarang kes mangsa masih di peringkat mahkamah malah mangsa dituduh di bawah seksyen 39 A (1) dan masih dalam perbicaraan,” katanya. 

Yusuf berkata, kes ini masih disiasat dan saksi kejadian diminta tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan polis. 

Sebarang maklumat boleh disampaikan dengan menghubungi 05-8080222 atau membuat laporan di balai polis berhampiran.

No comments:

Post a Comment