Search This Blog

Friday, April 16, 2010

Jaga ketuai kumpulan pecah rumah





Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff (tengah) menunjukkan barang bukti yang dirampas daripada Geng Man Taka di Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 15 April - Sebagai seorang pengawal keselamatan di Danga Bay, sudah pasti khidmatnya adalah mengawal keselamatan lokasi pelancongan itu daripada diceroboh oleh penjenayah.
Itulah sebenarnya tugas rutinnya. Sebaliknya apa yang berlaku, pengawal keselamatan ini merupakan ketua kumpulan geng pecah rumah, Geng Man Taka yang terlibat dalam 28 kes di sekitar bandar raya ini.
Kegiatan lelaki berusia 42 tahun ini terbongkar apabila dia bersama lima rakannya berusia antara 28 hingga 42 tahun ditahan polis pada 10 April lalu di Tampoi.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, modus operandi geng berkenaan adalah dengan memecah masuk rumah yang ditinggalkan oleh penghuninya.
"Geng ini biasanya akan memantau rumah mangsa dan tahu bila dan berapa lama mangsa akan meninggalkan rumah mereka.
"Sebaik saja rumah tersebut tiada penghuni, mereka akan memecah masuk dan melarikan barang berharga," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Mohd. Mokhtar memberitahu, selepas menahan kumpulan itu, polis menemui semula beberapa barangan hasil curi, antaranya wang tunai RM7,000, sebuah televisyen plasma, dua unit pembesar suara, enam utas jam tangan dan empat telefon bimbit.
Selain itu, turut ditemui dua peket dipercayai dadah jenis syabu, seutas gelang tangan, sebuah kamera digital, peralatan komputer dan sebilah parang.
Menurutnya, hasil ujian air kencing mendapati lima daripada suspek turut positif dadah jenis syabu dan kesemuanya kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan.
Sementara itu, dalam kes berasingan, polis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun kira-kira 40 minit selepas dia dan seorang rakannya mencuri sebuah lori pasir di Taman Universiti, Skudai awal pagi 10 April lalu.
Polis yang menerima maklumat mengenai kejadian itu berjaya mengesan lori tersebut yang dipandu suspek di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Kulai.
"Anggota peronda polis lebuh raya terus mengejar lori itu dan berjaya menahannya di Kilometer 190, berhampiran Jasin, kira-kira pukul 5.50 pagi.
"Bagaimanapun, rakan suspek berjaya melarikan diri. Usaha mengesannya kini giat dijalankan," katanya.
Suspek yang ditahan kini direman hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment