Search This Blog

Tuesday, April 27, 2010

Dua beradik diberkas

ALOR SETAR 26 April - Polis menahan dua beradik lelaki yang bergiat aktif mencuri kereta di sekitar daerah Kota Setar dalam serbuan di Bukit Pinang, di sini semalam.

Dalam serbuan pada pukul 2.30 petang , kedua-duanya berusia 23 dan 25 tahun diberkas di sebuah rumah sewa.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab berkata, ketika ditahan, mereka sedang leka meleraikan kereta Nissan Sentra yang dilaporkan dicuri kira-kira pukul 7 pagi semalam.

Katanya, tiga lagi rakan mereka yang berada di dalam rumah tersebut bagaimanapun berjaya melarikan diri.

Tambahnya, hasil pemeriksaan menemui sebuah lagi kereta Toyota Corolla yang dilaporkan hilang di Kerpan, Ayer Hitam dekat sini, pada 6 April lalu.

"Hasil siasatan, kita yakin kedua-dua suspek telah lama aktif dalam kegiatan itu. Mereka mencuri, meleraikan kenderaan sebelum menjualnya di kedai alat ganti," katanya di sini hari ini.

Menurut Abdul Ghafar, kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau yang melibatkan kes mencuri dan pecah rumah.

"Suspek yang berusia 23 tahun baru sahaja tiga hari dibebaskan dari penjara atas kesalahan mencuri.

"Kedua-duanya akan ditahan reman mulai hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

No comments:

Post a Comment