Search This Blog

Tuesday, April 27, 2010

Benjy dakwa tahan semula untuk tutup malu



KUALA LUMPUR 26 April - Pelakon, Benjy (gambar) mendakwa penahanan semula oleh pihak polis hanyalah satu rancangan luar jangkaan dalam usaha menyelamatkan imej dan reputasi pasukan itu yang dikatakan tidak berupaya mendakwanya mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
'Rancangan' tersebut didakwa dilakukan selepas pihak polis mengadakan sidang media untuk mendedahkan penangkapan asalnya.
Namun, ekoran kekurangan bukti, dakwa anak lelaki tunggal pelakon veteran, Azean Irdawaty itu, dia hanya didakwa atas tuduhan memiliki 0.24 gram methamphetamine.
Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim, 32, menyatakan demikian dalam hujahan bertulis melalui peguam belanya, Amer Hamzah Arshad di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hujahan tersebut dikemukakan ketika permohonan habeas corpus yang difailkan oleh pelakon watak Jibek itu pada 8 April lalu, didengar hari ini.
Benjy memfailkan permohonan tersebut selepas tidak berpuas hati dengan penahanannya di bawah Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas - LLPK) 1985 beberapa minit selepas dibebaskan dengan ikat jamin.
Dalam permohonan itu, Benjy menamakan Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai pihak responden yang diwakili oleh tiga Peguam Kanan Persekutuan, Najib Zakaria, Zafran Zafri dan Mahmud Abdullah.
Benjy mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan memiliki dadah di sebuah premis beralamat A-6-5 di Menara Duta 2, Jalan 1/38B Off Jalan Segambut di sini pada 4 petang, 11 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua- duanya sekali.
Lapan minit selepas Benjy dibebaskan dengan ikat jamin, dia ditahan semula.

No comments:

Post a Comment