Search This Blog

Wednesday, March 31, 2010

Zarina disahkan bebas dadah



SEPANG 30 Mac - Pelakon kontroversi, Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul bebas daripada tuduhan mengambil dadah setelah keputusan ujian air kencingnya disahkan negatif oleh makmal kimia Jabatan Patologi.
Ketua Pegawai Operasi Agensi Dadah Kebangsaan (AADK) daerah, Syaiful Asfar A.Rahman berkata, laporan makmal patologi itu yang disahkan pegawai perubatan membuktikan dia bebas daripada pengambilan pengaruh dadah.
Dengan itu, katanya, pelakon drama seram bersiri itu juga bebas daripada pengawasan pihak AADK dan tiada sebarang tindakan yang akan diambil terhadap Zarina.
"Zarina memberi kerjasama baik kepada pegawai-pegawai AADK dan tidak menimbulkan sebarang masalah sepanjang tempoh pengawasan selama tiga minggu sementara menunggu keputusan ujian air kencingnya.
"Malah dia sendiri menawarkan diri menyertai program kaunseling berkelompok AADK hari ini bersama bekas penagih walaupun dia disahkan negatif daripada dadah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tamat sesi program kaunseling tersebut di Pejabat AADK daerah di sini hari ini.
Zarina sebelum ini ditahan AADK dalam satu operasi berhampiran Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini pada 12 Februari lepas dan disahkan positif dadah selepas menjalani saringan ujian air kencing.
Bagaimanapun keputusan ujian patologi dan pengesahan doktor perubatan diperlukan untuk mengetahui sama ada dia benar-benar positif.
Sementara itu, Zarina ketika ditemui memberitahu, dia lega dengan hasil keputusan ujian air kencing daripada jabatan tersebut dan bersyukur kerana bebas daripada dakwaan mengambil dadah.
Menurutnya, keputusan ujian makmal tersebut secara tidak langsung membuktikan dirinya tidak bersalah dan dapat menjawab persoalan serta tuduhan yang dilemparkan ke atasnya oleh pelbagai pihak.
"Saya sebelum ini bukannya tidak mahu bertemu dengan pihak media untuk menjelaskan perkara sebenar tetapi disebabkan keputusan ujian masih belum keluar lagi saya tidak dapat memberi sebarang jawapan.
"Banyak cerita yang tidak benar keluar, ada yang kata saya kena masuk lokap dan kena jamin sampai RM5,000, semuanya dibuat tanpa usul periksa," katanya.
Zarina berharap imejnya sebagai pelakon akan dapat dipulihkan kembali setelah melalui pelbagai rintangan termasuk kes gambar kontroversinya.

No comments:

Post a Comment