Search This Blog

Monday, March 15, 2010

Suspek tikam rakan direman seminggu



ALOR SETAR 14 Mac - Seorang wanita berusia 33 tahun ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh rakannya yang ditemui mati ditikam di Taman Kristal Mergong, di sini pada 4 Mac lalu.
Perintah tahanan reman ke atas wanita itu yang juga merupakan suspek utama kes berkenaan dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret di sini pada pukul 10.30 pagi ini.
Suspek ditahan polis semalam sejurus selepas dia dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) setelah dia dirawat di hospital itu sejak hari kejadian.
Dia ditahan reman di bawah Seksyen 117, Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan kes itu.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab berkata, perintah reman itu untuk membolehkan siasatan dijalankan dalam pelbagai aspek.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh.
"Sebelum ini polis telah memanggil beberapa orang saksi berhubung kes ini. Penahanan suspek dipercayai akan membantu melengkapkan siasatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam di Taman Kristal itu, seorang gadis, Suhana Mohd. Shariff, 26, meninggal dunia akibat ditikam bertubi-tubi di beberapa bahagian badan termasuk perut dan dada dipercayai oleh rakan wanitanya.
Selepas kejadian itu, suspek dipercayai turut mengelar tangan kiri dan menikam dadanya sendiri.
Dua rakan karib yang bekerja di sebuah kedai alat tulis itu dipercayai bergaduh dalam kereta milik mangsa kerana terdapat kesan darah ditemui di tempat duduk pemandu dan penumpang kenderaan berkenaan.

No comments:

Post a Comment