Search This Blog

Monday, March 15, 2010

Siti Nur Zubaidah mahu tinggal dengan saudara



KUALA LUMPUR 14 Mac - Dalam kegembiraan bertemu kembali dengan anak tersayang, Siti Sarnan Mat Ail, 42, mungkin terpaksa merelakan seketika anaknya itu berjauhan daripadanya.
Ini kerana anak kesayangannya itu, Siti Nur Zubaidah Hussin, 11, yang masih keliru dan trauma dengan apa yang berlaku ke atasnya sejak dua minggu lalu memilih untuk tidak pulang ke rumah.
Sebaliknya, kanak-kanak itu yang dinikahkan secara paksa dengan Shamsuddin Che Derahman, 41, atau dikenali sebagai Shamsudin Ajaib memilih untuk tinggal di rumah saudara terdekatnya.
"Kami sekeluarga memberi peluang kepada Siti Nur Zubaidah memilih sendiri untuk tinggal di mana dan dengan siapa.
"Dia mahu seorang saudara terdekat kami di daerah berdekatan di Kelantan menjaganya," kata Siti Sarnan ketika ditemui selepas menerima kunjungan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di Hospital Sungai Buloh hari ini.
Ibu malang itu terpaksa reda dengan pilihan kanak-kanak itu kerana tidak sanggup lagi melihat anaknya terus dibelenggu mimpi ngeri selepas dikahwinkan dan dilarikan lelaki tabligh itu.
Ketika menceritakan kejadian itu, Siti Sarnan mengakui lelaki tabligh itu mampu mempengaruhi mereka sekeluarga sehingga dia mempercayai kata-kata yang diucapkan sementara suaminya, Hussin Mat Salleh, 54, sukar membantah permintaan Shamsuddin.
"Kami bagai tak tahu apa yang berlaku, macam mimpi. Begitu pantas ia berlaku.
"Saya tidak menyangka lelaki itu akan melarikan anak kami dengan alasan ingin membawanya mendaftar ke sekolah tahfiz. Dengan mudah saya percaya bila suami turut serta," jelasnya.
Siti Nur Zubaidah yang masih menerima rawatan dan kaunseling di Hospital Sungai Buloh dijangka memulakan persekolahan di sekolah agama yang baru berdekatan rumah saudaranya apabila dibenarkan keluar dari hospital itu.

No comments:

Post a Comment