Search This Blog

Wednesday, March 31, 2010

RPK larikan diri melalui Langkawi?





KUALA LUMPUR 30 Mac - Pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin yang diburu pihak berkuasa dikatakan meninggalkan negara ini ke Thailand secara haram melalui Langkawi.
Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Zamil Ibrahim mendedahkan maklumat itu diperoleh daripada salinan rekod penghantaran e-mel avenger malaysia (avenger.malaysia@gmail.com) dipercayai milik Raja Petra yang diterimanya.
Zamil mendakwa, dalam e-mel kepada seorang wartawan di The Doha Centre For Press Freedom bertarikh 28 Mac 2009, Raja Petra memberitahu beliau dan isteri, Marina Lee berlepas ke Kedah pada waktu tengah malam sebelum menaiki bot ke Langkawi dari sebuah jeti yang lengang.
Dakwanya, apabila matahari terbit Raja Petra memberitahu beliau dan Marina meneruskan perjalanan ke Thailand selama beberapa jam dengan enjin bot mati tiga kali sebelum tiba di Phuket.
"Raja Petra berkata mereka berdua berada di Phuket selama sebulan untuk menguruskan pasport dan dengan duit yang dihantar pihak wartawan itu, dia membeli dua tiket ke Manchester dan tiba pada 24 Mac.
"Dia juga memberitahu telah meninggalkan Thailand dan memasuki United Kingdom (UK) secara sah namun tetap dikira meninggalkan Malaysia secara haram," katanya dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Pada 16 Mac lalu, bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari dalam sidang akhbarnya mendedahkan penggunaan akaun e-mel avenger.malaysia@gmail.com oleh Raja Petra untuk berhubung dengan pihak lain.
Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei lalu bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pada 30 Disember lalu mengesahkan Raja Petra yang menjadi buruan berada di London.
Sementara itu, Zamil berkata, dakwaan Raja Petra dalam e-mel itu menimbulkan tanda tanya kerana ia membabitkan penggunaan dokumen perjalanan yang lain dari pasport Malaysia.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak polis menyiasat bagaimana Raja Petra begitu mudah dapat menyelinap keluar.
Lagipun, tegasnya, apa jua perkara mengenai dokumen perjalanan berkait rapat dengan soal keselamatan negara dan ia perlu diberi perhatian serius.
"Apa yang saya faham hanya pihak Konsul Kehormat Diraja Thailand di Langkawi, Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang boleh keluarkan dokumen perjalanan membabitkan pasport Malaysia dan Thailand.
"Jadi kita tertanya-tanyalah sebab tak mungkin Shazryl dengan kedudukannya yang tinggi sanggup bersekongkol dalam hal ini, jadi siapakah sebenarnya membantu Raja Petra mendapatkan dokumen perjalanan sah dari Thailand," katanya.
Sementara itu, Shazryl Eskay ketika dihubungi hari ini menafikan beliau membantu Raja Petra Kamaruddin meloloskan diri dari negara ini melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam dekat sini.
Katanya, beliau tidak pernah berjumpa, mengenali atau bercakap dengan pengendali laman web Malaysia Today itu apatah lagi membantunya meloloskan diri melalui sempadan Malaysia-Thailand itu.
"Demi Allah saya tidak kenal dia. Saya menafikan dengan tegas (membantu Raja Petra)," katanya.

No comments:

Post a Comment