Search This Blog

Thursday, March 11, 2010

Remaja OKU dirantai 2 bulan

MELAKA 10 Mac – Bagi mereka yang bernasib malang sama ada orang kurang upaya (OKU) atau yang tiada tempat bergantung, hanya pusat-pusat kebajikan menjadi tempat mereka bergantung harapan meneruskan kehidupan.Bagi golongan itu, dunia mereka hanyalah di pusat jagaan tersebut yang menjadi tempat berkongsi cerita dan kasih sayang sementara menghabiskan sisa-sisa hidup.
Namun, siapa sangka pusat yang sepatutnya memberi layanan mesra itu, menjadi ‘penjara’ buat salah seorang penghuninya – seorang remaja OKU berusia 19 tahun sejak dua bulan lalu.
Ketika ditemui, keadaan remaja bertubuh kurus itu berbaju lusuh dan berseluar pendek amat menyedihkan. Tubuhnya penuh kudis manakala kaki kanannya dirantai pada besi tingkap.
Tanpa alas, dia cuma dibiarkan terbaring di lantai dan ketika diberi sebotol air, dia meneguk dengan rakus seperti sudah lama tidak diberi minum.
Perkara itu didedahkan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Melaka Tengah yang melakukan pemeriksaan mengejut di sebuah pusat jagaan di sini yang tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pegawai Operasinya, Saidatul Aini Jafri berkata, penemuan itu amat mengejutkan pihaknya sambil mengutuk perbuatan tersebut kerana memperlakukan remaja itu seperti haiwan.
“Ketika ditanya, pihak pengurusan pusat jagaan itu memberi alasan remaja tersebut bertindak agresif jika tidak dirantai tetapi apa yang saya lihat, dia cuma kelaparan dan tidak terurus.
“Apa pun alasan mereka, remaja itu tidak patut dirantai seperti haiwan. Kami akan membawa pulang remaja ini dan menghubungi keluarganya untuk ditempatkan di bawah penjagaan JKM sekiranya perlu,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengetuai operasi penguatkuasaan di beberapa buah taman asuhan kanak-kanak (taska) dan pusat jagaan kanak-kanak dan orang tua-tua di sini hari ini.
Saidatul Aini berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis kepada pusat jagaan itu supaya mendaftar dengan JKM untuk memudahkan jabatan itu melakukan pemantauan.
“Apabila mereka tidak berdaftar, inilah yang kita bimbangkan. Mereka tidak mendapat garis panduan cara terbaik menguruskan penghuni,” katanya.
Tinjauan mendapati, pusat jagaan orang tua itu beroperasi sejak setahun lalu di sebuah rumah dua tingkat empat bilik.
Ia mempunyai 17 penghuni wanita dan tujuh penghuni lelaki berusia antara 18 hingga 90 tahun.

No comments:

Post a Comment