Search This Blog

Monday, March 1, 2010

Nenek malang


Laporan dan foto MARY VICTORIA DASS
maryvictoria@hmetro.com.my
2010/02/28
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
JOHOR BAHRU: “Hanya si Manja menjadi teman setia saya di rumah yang kerap diancam banjir kilat,” kata seorang nenek, Satinah Wahab, 62, yang hidup sebatang kara dan hanya bertemankan kucing sejak tiga tahun lalu di Kampung Tok Siak, Bakar Baru, di sini.
“Saya bimbang tinggal bersendirian sejak jiran sebelah rumah pindah, tambah pula kawasan ini kerap mengalami banjir kilat. Kali terakhir banjir seminggu lalu, air naik sampai ke lutut.

“Sudah empat kali permohonan saya untuk mendapat rumah PPR di Stulang ditolak, lebih mengecewakan seorang pegawai jawatankuasa pemindahan berkata ‘Jangan mimpilah nek... rumah tiada’,” katanya yang bekerja sebagai kakitangan pembersihan dan turut menghidap penyakit tekanan darah tinggi serta masalah saraf kaki.

Sementara itu, penduduk asal perkampungan setinggan berkenaan, Mustapha Mohd Yusof, 53, berkata kerajaan negeri harus memberi keutamaan kepada penduduk asal perkampungan itu dan golongan kurang bernasib baik untuk berpindah ke rumah PPR.

“Saya kasihan melihat keadaan dia (Satinah) yang tinggal sendirian dan terpaksa bekerja walaupun sudah tua kerana hingga kini tiada pihak sudi menghulur bantuan kepadanya. Hidupnya akan lebih selesa dan selamat jika dia dapat berpindah ke rumah PPR.
“Kami berharap kerajaan negeri mempertimbangkan rayuan kami dan prihatin dengan nasib penduduk yang masih tidak dapat rumah kerana kami difahamkan kawasan ini akan diambil pemaju dalam tempoh masa terdekat,” katanya.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad, berkata permasalahan dialami penduduk perkampungan berkenaan sentiasa diambil berat oleh pihaknya.

Katanya, 14 keluarga berkenaan didapati tercicir daripada senarai penerima PPR kerana ada antara mereka difahamkan sudah membeli rumah, berpindah ke kediaman ahli keluarga atau gagal menghantar surat permohonan.

“Mereka masih boleh memohon rumah PPR dan dapatkan bantuan kami jika menghadapi kesulitan. Mengenai banjir kilat, kerja meluaskan Sungai Tampoi supaya mampu menampung air ketika hujan lebat juga akan dijalankan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

No comments:

Post a Comment