Search This Blog

Wednesday, March 31, 2010

Identiti dua janda dicari polis Rusia




SEORANG wanita bersujud di depan kalungan bunga dan lilin yang diletakkan oleh keluarga mangsa letupan tren di stesen Lubyanka, Moscow semalam.


MOSCOW - Polis Rusia semalam mencari petunjuk dari Caucasus Utara yang merupakan wilayah yang didiami ramai penduduk Muslim berhubung identiti dua pengebom berani mati wanita yang membunuh 39 orang di dua stesen tren bawah tanah di sini kelmarin.
Akhbar Kommersant memetik beberapa sumber yang melaporkan bahawa kemungkinan operasi ketenteraan di Caucasus Utara oleh tentera Rusia yang membunuh seorang militan kanan sebagai punca serangan balas dendam tersebut dilakukan.
Cuma beberapa anggota tubuh pengebom yang ditemui selepas kedua-duanya meletupkan diri dengan bahan letupan pada badan masing-masing di dua buah tren berasingan.
Laman web berita Life.ru menyiarkan kepala kedua-dua mayat wanita yang kini menjadi siasatan utama polis.
Ia melaporkan letupan pertama di dalam sebuah tren di stesen Lubyanka amat kuat sehingga menyebabkan cuma kepala dan kaki pengebom yang ditemui.
Letupan kedua yang berlaku di stesen Park Kultury di sini kurang kuat.
Sumber-sumber keselamatan menyatakan kedua-dua wanita itu menaiki sebuah tren bersama-sama pagi kelmarin di stesen Yugo-Zapadnaya.
Menurut akhbar Kommersant, mereka ditemani dua wanita dan seorang lelaki di stesen berkenaan. Akhbar itu melaporkan bahawa sebahagian pakaian dua pengebom itu ditemui dengan salah seorangnya memakai seluar panjang hitam dan seorang lagi skirt berwarna sama.
Menurut akhbar Kommersant, tidak ada sebarang dokumen ditemui tetapi sekeping tiket dijumpai yang menunjukkan salah seorang pengebom tersebut menaiki tren di stesen Yugo-Zapadnaya. - Agensi

No comments:

Post a Comment