Search This Blog

Wednesday, March 31, 2010

Duda 3 anak dicekup bersama syabu

2010/03/31

KUALA LUMPUR: Seorang duda tiga anak yang mempunyai sembilan rekod jenayah lampau ditahan polis cawangan narkotik Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPKL) dalam serbuan di sebuah restoran di Jalan Sungai besi, Ahad lalu.

Selain kes dadah, antara rekod kesalahan yang pernah dilakukan lelaki terbabit adalah curi, rompak serta cubaan merompak, ugut dan menyeksa orang.

Difahamkan, suspek yang sekian lama melarikan diri itu tumpas apabila dia ditahan bersama seorang rakannya selepas polis menerima maklumat yang mereka aktif dalam pengedaran dadah. Duda yang bekerja sebagai tukang kayu itu ditahan bersama seorang rakan dan polis menemui 10 peket dadah disyaki syabu seberat 257.4 gram yang dianggarkan bernilai RM90,000.


Ketua Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, berkata kedua-dua suspek berusia 40 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira jam 6 pagi.


“Turut dirampas wang tunai RM1,160, dua telefon bimbit dan sebuah Proton Waja dipercayai milik seorang daripada suspek.


“Kedua-dua suspek direman seminggu bermula kelmarin bagi membantu siasatan,” katanya.


Sementara itu, dalam serbuan berasingan, seorang lelaki warga Nigeria ditahan di rumah sewanya di Taman Pusat Kepong kira-kira jam 5 pagi hari sama.


Menurut Kang, hasil pemeriksaan dalam rumah berkenaan, polis menemui dua bungkusan plastik disyaki kokain dengan anggaran berat kira-kira 60 gram.

No comments:

Post a Comment