Search This Blog

Monday, March 8, 2010

Dua kereta pemimpin Hindu Sangam rosak dibakar

PETALING JAYA 7 Mac - Dua buah kereta milik Presiden dan Naib Presiden Hindu Sangam Malaysia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diletakkan di hadapan pejabat itu rosak apabila dibakar dengan menggunakan bahan api oleh dua lelaki yang tidak dikenali.

Kejadian berlaku pada pukul 1.20 pagi di pejabat pertubuhan itu yang terletak di sebuah bangunan rumah kedai di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama 7 di sini.

Turut menjadi sasaran adalah papan nama pertubuhan berkenaan yang dilempar bom api.

Ketika kejadian, kedua-dua mangsa, S. Mohan, 45, dan V. Kundasamy, 55, serta seorang lagi naib presiden pertubuhan itu, sedang bermesyuarat di tingkat tiga bangunan tersebut.

Mohan memiliki kereta Hyundai Trajet manakala Kundasamy merupakan pemilik kereta Mercedes-Benz E230.

Menurut Mohan, mereka menyedari kejadian tersebut apabila mendengar bunyi bising di luar bangunan.

"Saya menjenguk ke luar menerusi tingkap dan mendapati pengawal keselamatan dari sebelah bangunan bertentangan menjerit ada kereta terbakar.

"Kami terus meluru ke bawah dan mendapati kereta kami sedang terbakar," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohan menambah, pengawal keselamatan terbabit mendakwa ia dilakukan oleh dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha.

Beliau percaya kejadian itu, mempunyai kaitan dengan satu kes penipuan diterima Hindu Sangam Malaysia melibatkan seorang individu yang didakwa menggunakan agama untuk mengaut keuntungan.

"Kami mengadakan pertemuan dengan kira-kira 80 mangsa serta 30 NGO untuk kes tersebut (penipuan) semalam. Pada sebelah malam, kita kena lontar bom, mungkin ada kaitan," jelasnya.

Berikutan kejadian itu, kedua-dua mangsa yang bimbang dengan keselamatan masing-masing telah membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi hari ini mengesahkan insiden tersebut.

No comments:

Post a Comment