Search This Blog

Tuesday, March 16, 2010

Budak lelaki 6 tahun hilang dipercayai diculik





KUALA LUMPUR 15 Mac - Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dilaporkan hilang dipercayai diculik di rumah neneknya di Perumahan Awam Sri Kota, Cheras, di sini malam Sabtu lalu.
Mangsa, Muhammad Adam Haikal kali terakhir dilihat ibu saudaranya pukul 4.30 petang pada hari kejadian.
Pada ketika itu, mangsa sedang bermain gasing di tingkat tiga pangsapuri berkenaan sebelum turun ke taman permainan perumahan tersebut.
Bagaimanapun kanak-kanak itu tidak muncul di rumah neneknya sehinggalah disedari oleh ibu bapanya pada sebelah malam.
Menurut ibu mangsa, Normayanti Abdul Manan, 30, Muhammad Adam Haikal sudah biasa dengan kawasan perumahan tersebut memandangkan setiap hari dia ditinggalkan bersama neneknya ketika dirinya dan suami keluar bekerja.
Katanya, biasanya, pada pukul 7 petang anaknya itu akan pulang ke rumah neneknya setelah penat bermain.
''Kebetulan pula pada hari Sabtu itu, semua ahli keluarga sedang sibuk dengan persiapan majlis perkahwinan bapa saudara Muhammad Adam.
''Jadi (apabila) sehingga pukul 10 malam Haikal tidak ditemui, kami telah membuat satu laporan di Balai Polis Sungai Besi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supritendan Abdul Rahim Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.
Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Muhammad Adam Haikal supaya menghubungi keluarga kanak-kanak itu melalui talian 012-2608660 atau 012-2791044.
Kes tersebut telah dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) dan polis sedang berusaha mencari kanak-kanak itu.

No comments:

Post a Comment