Search This Blog

Wednesday, March 31, 2010

Baju Merah enggan teruskan rundingan



BANGKOK 30 Mac - Penunjuk perasaan antikerajaan tidak lagi berminat untuk mengadakan rundingan lanjut dengan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva, sebaliknya akan mencari jalan lain untuk memaksa pilihan raya baru diadakan.
Selepas dua pusingan rundingan diadakan dengan Perdana Menteri gagal mencapai sebarang penyelesaian, para pemimpin 'Baju Merah' menuduh Abhisit menggunakan taktik berlengah-lengah dan mempersoalkan keikhlasan beliau untuk mencari jalan penyelesaian kepada kebuntuan politik di negara ini.
Abhisit semalam menolak tuntutan penunjuk perasaan supaya Parlimen dibubarkan dalam tempoh 15 hari.
"Matlamat gerakan 'Baju Merah' ialah untuk membubarkan Parlimen dan apabila kerajaan hanya mahu berlengah-lengah, tidak ada gunanya kami mengadakan rundingan lanjut.
"Kami akan bermesyuarat kemudian untuk membincangkan langkah seterusnya bagi mendesak supaya Parlimen dibubarkan," kata seorang pemimpin penunjuk perasaan, Jatuporn Prompan, hari ini.
Abhisit berlepas ke Bahrain untuk lawatan dua hari pagi ini. Beliau mencadangkan rundingan lanjut diadakan bagi menyelesaikan kebuntuan itu dan kemungkinan pemimpin 'Baju Merah' mempersetujui saranan beliau itu masih ada.
Penunjuk perasaan mendakwa Abhisit menjadi Perdana Menteri secara tidak sah, iaitu sebagai ketua sebuah perikatan di Parlimen yang dibentuk oleh tentera, dan menuduh beliau gila kuasa dan menangguhkan pilihan raya yang tidak mungkin dimenangi oleh parti beliau.
Penggal perkhidmatan Abhisit berakhir pada Disember tahun depan dan pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh itu.
Dalam kenyataan yang dilihat sebagai sindiran terhadap bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, pemimpin dan pembiaya gerakan 'Baju Merah' itu, Abhisit berkata, beliau membuat keputusan untuk kepentingan negara, bukan atas kepentingan individu tertentu.
"Pendirian kami jelas. Kepentingan negara mesti didahulukan. Kita semua mahu mencari penyelesaian untuk negara ini, tetapi penyelesaian itu tidak boleh didorong oleh hasrat orang tertentu," kata Abhisit.
Penganalisis berkata, Abhisit yang mendapat sokongan padu daripada tentera dan golongan elit, tidak mungkin tunduk dan keputusan beliau untuk berunding dengan pemimpin 'Baju Merah' hanya bertujuan untuk meredakan ketegangan.
Sementara itu Kabinet Thai hari ini melanjutkan tempoh penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) meliputi Bangkok dan dua wilayah berhampiran selama seminggu lagi sehingga 6 April, bagi membolehkan polis dan askar mengawal tunjuk perasaan. - REUTERS

No comments:

Post a Comment