Search This Blog

Sunday, March 28, 2010

Ahli perniagaan dibunuh kejam





ANGGOTA polis mengangkat mayat Ramli Osman yang mati dipercayai ditetak di sebuah hotel di Port Dickson, semalam.


TELUK KEMANG 27 Mac – Seorang ahli perniagaan mati manakala seorang wanita yang bersamanya parah akibat ditetak dengan parang di sebuah bilik hotel di Port Dickson dekat sini, awal pagi ini. Dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi, mangsa, Ramli Osman, 40, dari Shah Alam, Selangor, meninggal dunia di bilik itu setelah kehilangan banyak darah akibat ditetak di paha dan kaki.
Wanita yang berusia 26 tahun itu dan berasal dari Kuala Lumpur, pula cedera parah akibat ditetak di kaki dan tangan.
Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, kejadian disedari pengurusan hotel selepas wanita itu menghubungi penyambut tetamu untuk meminta pertolongan.
Katanya, beberapa pengawal keselamatan hotel lalu bergegas ke bilik tersebut dan menemui wanita itu dalam keadaan berlumuran darah.
“Wanita itu yang membuka pintu kemudian rebah dan tidak sedarkan diri. Polis juga menemui seorang lelaki yang berlumuran darah atas katil,” katanya ketika ditemui di hotel tersebut dekat sini hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu yang merupakan seorang duda mati di tempat kejadian manakala wanita tersebut masih hidup.
“Wanita itu dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja‘afar (HTJ), Rasah dan berada dalam keadaan stabil,” jelasnya.
Osman berkata, berdasarkan maklumat setakat ini, polis percaya serangan itu dilakukan oleh seorang suspek namun siasatan masih dijalankan termasuk mengenal pasti motif pembunuhan.
Beliau turut memaklumkan, berdasarkan rekod kemasukan pengunjung hotel, lelaki itu telah mendaftar masuk pada pukul 3 petang semalam.
“Kita masih menjalankan siasatan hubungan mangsa dengan wanita itu serta tujuan mereka berada di hotel berkenaan,” tambahnya.
Buat masa ini, pihak polis katanya, akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pintu masuk hotel itu bagi mengesan individu yang disyaki.
Mayat lelaki berkenaan telah dibawa ke bilik mayat HTJ untuk bedah siasat dan kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment