Search This Blog

Monday, March 15, 2010

35 maut serangan bom nekad



SEORANG anggota tentera menjadi perhatian orang ramai di kawasan serangan bom nekad dekat penjara Kandahar, semalam. – REUTERS


KANDAHAR 14 Mac – Sekumpulan pengebom nekad meletupkan bom di sebuah penjara yang kubunya baru dibina, ibu pejabat polis dan dua lokasi lain, mengorbankan 35 nyawa termasuk 13 pegawai polis di bandar terbesar dekat kawasan tengah Taliban tersebut.
Menurut anggota majlis wilayah Kandahar, Ahmed Wali Karzai, penjara itu merupakan sasaran utama dalam serangan semalam, namun tiada banduan dilapor berjaya meloloskan diri.
Ahmed Wali yang juga adik kepada Presiden Hamid Karzai berkata, dua daripada letupan itu berlaku berhampiran rumahnya, namun tidak mengakibatkan kerosakan.
Beliau memberitahu The Associated Press, tentera Kanada telah memperteguh penjara tersebut dengan blok-blok simen selepas satu serangan nekad pada 2008 meletupkan pintu masuk penjara dan membebaskan beratus-ratus penjenayah serta banduan yang disyaki anggota pemberontak.
“Mereka mahu terus membuatkan orang ramai sibuk di bandar dan menghancurkan penjara, tetapi tentera Kanada telah melakukan tugas yang baik.
“Mereka menjalankan banyak pembinaan semula, jadi pihak pemberontak tidak dapat memusnahkan penjara kali ini,” katanya.
Tambah Ahmed Wali, satu serangan nekad berlaku di depan pintu pagar ibu pejabat polis Kandahar yang turut mengakibatkan kecederaan dan kematian di kalangan orang awam.
“Rumah-rumah serta premis perniagaan di situ runtuh, menyebabkan orang ramai masih terperangkap di bawah runtuhan.
“Terdapat sebuah dewan perkahwinan berhampiran ibu pejabat polis tersebut, di mana satu majlis perkahwinan sedang berlangsung. Banyak kecederaan dan kematian dilapor daripada letupan-letupan tersebut.” ujar beliau.
Beliau berkata, seramai 35 termasuk 22 orang awam dilapor terbunuh sementara 57 yang lain mengalami kecederaan. – AP

No comments:

Post a Comment