Search This Blog

Wednesday, March 31, 2010

Dadah skim ansuran mudah

BUKTI...Kang menunjukkan dadah yang dirampas.














KUALA LUMPUR: Skim ansuran mudah. Itu taktik
 digunakan dua lelaki untuk menarik pelanggan
membeli dadah dengan cara berhutang sebelum
 perbuatan terbabit terbongkar apabila mereka
 ditahan di sebuah pangsapuri
di Jalan Kuching, dekat sini, Jumaat lalu
BUKTI...Kang menunjukkan dadah yang dirampas.


RAMPAS...barangan dan wang yang dirampas daripada suspek.
RAMPAS...barangan dan wang yang dirampas
 daripada suspek.
































Dua lelaki berusia 32 dan 36 tahun diberkas selepas
polis
menerima maklumat orang awam dan pemeriksaan
di rumah
itu menemui pelbagai dadah dipercayai untuk diedarkan
 kepada
pelanggan.
Mereka menjual dadah kepada pelanggan secara hutang
dan menyediakan buku nota kecil mempunyai senarai nama
serta tarikh bahan terlarang terbabit diambil pelanggan.

Difahamkan, pelanggan tetap yang dikenali dan
dipercayai itu akan mendapat layanan istimewa
 dengan mereka boleh membayar ansuran jika
 mahu mengambil dadah.

Ketua Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat
 Kontinjen Kuala
Lumpur (IPKKL), Asisten Komisioner Kang
Chez Chiang,
berkata hasil serbuan itu, polis merampas pelbagai
 jenis dadah
 iaitu heroin, ganja, syabu dan Eramin 5.

“Semua nilai dadah terbabit dianggarkan
RM120,000 dan
kami percaya kedua-dua lelaki terbabit turut
menjadikan
 pangsapuri itu sebagai tempat membungkus
dadah sebelum
 dijual.
“Hasil ujian air kencing, kedua-dua suspek
 didapati positif
 syabu dan ganja,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas wang tunai RM2,473,
 lima telefon bimbit, buku cek, alat pembungkus dan alat penimbang.

“Selain itu, kami menemui buku nota kecil mengandungi
senarai nama dipercayai pelanggan mereka yang mengambil
dadah secara hutang.

“Siasatan awal mendapati mereka aktif mengedar dadah sejak
 tiga bulan lalu,” katanya.

Menurut Kang, kedua-dua suspek tidak mempunyai pekerjaan
dan seorang daripadanya baru keluar daripada pusat pemulihan
akhlak Disember lalu.
“Suspek berusia 32 tahun itu duda dua anak manakala rakannya
sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.

“Seorang daripadanya mempunyai tiga rekod jenayah manakala
 rakannya pula satu rekod jenayah lampau berkaitan dengan kes
dadah,” katanya. Menurutnya, kedua-dua suspek terbabit kini
direman enam hari bermula Sabtu lalu hingga esok bagi membantu
 siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Senapang pengawal bank meletup kena dinding

KUALA LUMPUR: Beberapa kakitangan sebuah bank di Wangsa Maju di sini, nyaris maut apabila senapang ‘pump gun’ seorang pengawal keselamatan tiba-tiba meletup sebelum tembakan senjata itu mengenai dinding premis berhampiran.
Menurut sumber, pengawal keselamatan berusia 20-an itu mahu memasukkan peluru sebelum tidak sengaja tertekan picu. Sumber itu berkata, Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, peluru berkenaan terkena dinding premis, bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan. “Susulan kejadian itu, kakitangan yang terkejut menghubungi pihak berkuasa sebelum sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian. “Polis merampas senjata api pengawal keselamatan terbabit sebelum dia dibawa ke balai polis berhampiran untuk diambil keterangan. “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api kerana cuai,” katanya.

Anggota tentera sakit mental didakwa akibat didera

2010/03/31

PEKAN: Seorang bapa mendakwa anaknya yang bekerja sebagai anggota tentera darat di bahagian kejuruteraan di sebuah kem di Kuala Lumpur mengalami masalah mental akibat dipukul pegawainya kerana tidak hadir bertugas selama setahun.
Abdul Hamid Sulaiman berkata anaknya Muhamad Zaini, 28, kini terpaksa menjalani rawatan mental di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan.

Kejadian dera itu dikatakan berlaku tahun lalu apabila anggota Polis Tentera menahan Muhamad Zaini di rumahnya di Kuala Kurau, Perak.

"Ketika dalam perjalanan ke Balai Polis Kuala Kurau, anak saya dipukul di bahagian kepala dengan kuat menyebabkan pendarahan yang banyak.


"Dia juga dipukul sepanjang perjalanan itu oleh seorang pegawai tentera berpangkat Kapten," dakwa Abdul Hamid.

Beliau berkata selepas kejadian itu, anaknya menjadi tidak waras dan pada awal tahun ini, dia dihantar ke Klinik Psikiatri dan Kesihatan Mental di Kuala Lumpur yang kemudiannya disahkan mengalami masalah mental.

"Walaupun disahkan doktor yang anak saya mengalami masalah mental, dia tetap dibicarakan di Mahkamah Tentera dan telah dijatuhi hukuman penjara selama sembilan bulan pada 5 Mac lalu.

"Bagaimanapun hanya beberapa hari dijatuhi hukuman, anak saya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur kerana dipercayai diberi makan ubat terlebih dos," katanya.

Abdul Hamid berkata ekoran keadaan yang dialaminya, Muhamad Zaini yang mempunyai dua orang anak sudah bercerai dengan isterinya. - Bernama

Duda 3 anak dicekup bersama syabu

2010/03/31

KUALA LUMPUR: Seorang duda tiga anak yang mempunyai sembilan rekod jenayah lampau ditahan polis cawangan narkotik Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPKL) dalam serbuan di sebuah restoran di Jalan Sungai besi, Ahad lalu.

Selain kes dadah, antara rekod kesalahan yang pernah dilakukan lelaki terbabit adalah curi, rompak serta cubaan merompak, ugut dan menyeksa orang.

Difahamkan, suspek yang sekian lama melarikan diri itu tumpas apabila dia ditahan bersama seorang rakannya selepas polis menerima maklumat yang mereka aktif dalam pengedaran dadah. Duda yang bekerja sebagai tukang kayu itu ditahan bersama seorang rakan dan polis menemui 10 peket dadah disyaki syabu seberat 257.4 gram yang dianggarkan bernilai RM90,000.


Ketua Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, berkata kedua-dua suspek berusia 40 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira jam 6 pagi.


“Turut dirampas wang tunai RM1,160, dua telefon bimbit dan sebuah Proton Waja dipercayai milik seorang daripada suspek.


“Kedua-dua suspek direman seminggu bermula kelmarin bagi membantu siasatan,” katanya.


Sementara itu, dalam serbuan berasingan, seorang lelaki warga Nigeria ditahan di rumah sewanya di Taman Pusat Kepong kira-kira jam 5 pagi hari sama.


Menurut Kang, hasil pemeriksaan dalam rumah berkenaan, polis menemui dua bungkusan plastik disyaki kokain dengan anggaran berat kira-kira 60 gram.

2 beradik jumpa 382 peluru hidup

JELI: Dua beradik remaja temui 382 peluru hidup, yang pada awalnya disangkakan batang crayon, ditemui dalam bungkusan plastik lusuh di sebuah kebun buah, Kampung Pasir Dusun, dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Jeli DSP Muhammad Hanifa Abd. Malek berkata, dua beradik berusia 14 dan 17 tahun itu menemui bungkusan plastik itu ketika mencari layang-layang yang terputus.

"Apabila pulang, bapa mereka memeriksa bungkusan itu dan mendapati ia peluru lalu memaklumkan polis dan pihak kami mendapati peluru itu masih hidup," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan polis, terdapat 262 butir peluru jenis 5.56mm, 81 butir jenis 9mm dan sebutir jenis 7.62mm.

Katanya, Unit Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) turut dihantar ke tempat kejadian dan melakukan pemeriksaan di kawasan kebun buah-buahan itu. - Bernama

Ejen Iran buat operasi di Pakistan



TEHERAN - Ejen-ejen perisikan Iran berjaya membebaskan seorang diplomat negara itu yang diculik pada 2008 oleh sekumpulan lelaki bersenjata di barat laut Pakistan, lapor sebuah stesen televisyen semalam. Ejen-ejen itu menyelamatkan diplomat itu, Heshmatollah Attarzadeh dalam satu operasi perisikan yang rumit, kata laporan berkenaan.
Konsul Jeneral Iran di Peshawar, Abbas Ali Abdullahi mengesahkan laporan The Associated Press bahawa Hesmatollah telah ditemui dan dia kini kembali dengan selamat ke Iran.
Diplomat itu dan seorang pengawal peribadi Pakistan sedang menaiki sebuah kereta di sebatang jambatan di Peshawar pada 13 November 2008 apabila dua lelaki bersenjata melakukan sekatan serta melepaskan tembakan.
Penyerang-penyernag itu melarikan diri selepas membunuh pengawal peribadi diplomat berkenaan. - AP

Ahli keluarga ketua mafia derma RM6.2 juta

TAIPEI - Ahli keluarga mendiang ketua mafia Taiwan, Lee Chao-hsiung, yang meninggal dunia kerana kanser paru-paru pada 11 Mac lalu mendermakan AS$1.9 juta (RM6.2 juta) kepada badan-badan kebajikan bagi memenuhi wasiat terakhirnya, kata pihak berkuasa semalam.
Chao-hsiung meninggal dunia semasa berumur 73 tahun dan pengebumiannya akan diadakan pada lewat bulan depan dengan lebih 20,000 orang dijangka menghadirinya.
Dia terkenal kerana banyak membantu rundingan bagi membebaskan sejumlah mangsa culik yang terdiri daripada ahli politik dan perniagaan termasuk Speaker Majlis Perbandaran Thaichung, Chang Hung-nien, lapor sebuah akhbar.
Menurut satu kenyataan majlis perbandaran itu, anak ketua mafia itu menderma wang tersebut dengan menggunakan nama bapanya kepada golongan kurang upaya dan tidak berkemampuan termasuk empat buah pertubuhan kebajikan. - AFP

Pemimpin agama letak jawatan sebab pita seks



BANGALORE - Seorang pemimpin kerohanian India, Paramhamsa Nityananda yang mendakwa memiliki dua juta pengikut di seluruh dunia meletak jawatan semalam selepas polis melancarkan siasatan berhubung pita seks dirinya.
Dia yang berusia 32 tahun menjadi perhatian pelbagai pihak selepas beberapa stesen televisyen menyiarkan rakaman video yang menunjukkan Nityananda sedang membelai dua wanita tidak dikenali di atas katil.
"Saya meletak jawatan sebagai ketua Dhyanapeetam dan di semua cawangan berkaitan namun saya akan terus tinggal dalam kehidupan kerohanian untuk suatu tempoh yang tidak ditetapkan," katanya menerusi siaran video dalam satu laman webnya.
Nityananda cukup popular dan mempunyai ramai pengikut di selatan India. Sebuah pusat aktiviti kerohanian miliknya berpusat dekat bandar raya Bangalore selain 26 buah lagi di serata dunia.
Penduduk kampung tempatan yang marah dengan penyiaran video skandal seks itu pernah menyerang pusat kerohanian kelolaan Nityananda pada 3 Mac lalu sehingga menyebabkan pihak polis terpaksa memberi perlindungan khas kepadanya.
Bagaimanapun, ramai pengikut Nityananda mendakwa rakaman video tersebut sebagai palsu dan ia dilakukan oleh seseorang yang cemburu dengan popularitinya. - AFP

Perangi lokasi panas jenayah




AYUB berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak dalam usaha membanteras jenayah.


TINDAKAN cegah jenayah yang dilakukan Polis Pulau Pinang tidak terbatas di pusat bandar atau kawasan tumpuan umum sahaja apabila Ops Payung yang berjaya membendung jenayah jalanan diperluaskan operasinya. Ia kini memberi tumpuan terhadap pencegahan di peringkat daerah pula.
Bermula Februari lalu, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri itu memberi tumpuan terhadap 10 kawasan balai polis panas di negeri khususnya dalam usaha membanteras jenayah jalanan terutama melibatkan kes samun, ragut dan peras ugut.
Antaranya termasuklah sekitar Balai Polis Butterworth dan Mak Mandin bagi daerah Seberang Perai Utara, Balai Polis Bukit Tengah dan Balai Polis Bukit Mertajam untuk daerah Seberang Perai Tengah dan Balai Polis Sungai Bakap bagi daerah Seberang Perai Selatan.
Turut dikategorikan sebagai kawasan panas adalah Balai Polis Pulau Tikus, Jelutong, Jalan Patani dan Balai Polis Sentral bagi daerah Timur Laut serta Balai Polis Bayan Lepas bagi daerah Barat Daya.
Semasa mengumumkannya, Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, kawasan-kawasan tersebut dipilih berdasarkan jumlah laporan yang diterima daripada balai polis tersebut berhubung kejadian jenayah jalanan itu.
Untuk itu katanya, polis negeri Pulau Mutiara akan meningkatkan lagi kerjasama dengan semua agensi termasuk pasukan sukarela seperti Kelab Lion dan Rukun Tetangga selain menggandakan kerjasama dengan masyarakat.
Jelasnya, kerjasama daripada semua pihak dalam membantu polis amat berkesan berdasarkan pengalaman sejak ia dilaksanakan secara meluas tahun lalu.
"Kita yakin kejadian jenayah di lokasi panas ini dapat dikurangkan sekali gus menjayakan sasaran polis negeri untuk menurunkan sebanyak 20 peratus kes jenayah di Pulau Pinang tahun ini berbanding tahun lalu,
"Setakat ini saya amat berpuas hati dengan maklum balas yang diberikan oleh semua pihak termasuk pasukan sukarela dan anggota masyarakat di negeri ini," ujarnya.
Beliau yang ditemui semasa menghadiri Program Kepolisian Berprofil Tinggi di Jalan Raja Uda, Pulau Pinang baru-baru ini memberitahu, pegawai atasan polis negeri itu juga diminta kerap turun padang bagi bertemu sendiri dengan orang ramai.
Pada program itu, Ayub turut bertemu penduduk dan peniaga di kawasan berkenaan bagi mendengar sendiri masalah yang dihadapi mereka berhubung kegiatan jenayah yang sering berlaku di situ.
Beliau turut memberitahu berdasarkan statistik bagi Januari tahun ini sahaja, kadar jenayah yang dilaporkan di negeri ini telah menurut 15 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
"Kita harap penambahan aktiviti pencegahan jenayah dan kesedaran di kalangan masyarakat akan dapat membantu polis dalam usaha menurunkan kadar kes jenayah ini di negeri ini," katanya.
GRO dan teman homoseksual
Dalam perkembangan lain, Ayub menegaskan usaha membanteras kegiatan maksiat membabitkan pegawai perhubungan pelanggan (GRO) warga asing tidak berhasil sekiranya tiada usaha bersepadu antara agensi-agensi kerajaan.
Ia termasuk pemantauan pihak berkuasa tempatan (PBT) ke atas pusat-pusat hiburan tidak berlesen di negeri tersebut yang bebas beroperasi kerana dibimbangi menjadi sarang kegiatan jenayah lain seperti pelacuran dan penyalahgunaan dadah.
Tegasnya, serbuan demi serbuan yang dilakukan polis tidak akan berhasil sekiranya pusat-pusat hiburan seperti itu masih meneruskan kegiatan tidak bermoral tanpa rasa gentar.
Menurut beliau, situasi ini bukan sahaja memberi gambaran negatif orang ramai terhadap kelemahan penguatkuasaan, malah juga status Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan 'bersih' di mata masyarakat luar.
"Kita juga tidak menolak kemungkinan kegiatan-kegiatan maksiat ini didalangi pihak-pihak tertentu kerana premis yang sama kerap kali diserbu. Mereka seolah-olah mencabar undang-undang.
"Polis berpendapat semua pihak perlu serius memainkan tanggungjawab masing-masing kerana berapa banyak serbuan yang dibuat tidak bermakna jika premis seperti ini terus bercambah," katanya.
Sebelum ini, beberapa pusat hiburan sekitar bandar ini seperti di Jalan Penang, Jalan Burmah dan Jalan Anson kerap diserbu polis kerana dipercayai menjalankan kegiatan maksiat membabitkan GRO warga asing.
Serbuan turut dilakukan ke atas tiga premis terletak di Jalan Burmah dipercayai dikunjungi golongan homoseksual yang turut menawarkan 'teman' terdiri daripada lelaki tempatan dan luar negara.
Dalam operasi pencegahan seperti itu, kata Ayub agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Imigresen dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) turut menghulurkan bantuan.
Selain GRO warga China dan Vietnam yang ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial, polis turut mengesan peningkatan pembabitan GRO dari negara Asia Tengah seperti Kazakhstan.
Ayub memberitahu, tindakan tegas juga boleh diambil polis terhadap pekerja pusat hiburan yang diserbu atas dakwaan melindungi GRO warga asing.
"Perlu tindakan tegas kerana kita tidak menolak premis-permis ini menyediakan ruang dan peluang kepada warga asing untuk masuk ke negeri ini dan bekerja dalam kegiatan maksiat.
"Dalam soal penguatkuasaan, masyarakat seringkali menyalah polis kerana gagal bertindak sedangkan perkara ini sebenarnya membabitkan banyak pihak lain," tegasnya.

Identiti dua janda dicari polis Rusia




SEORANG wanita bersujud di depan kalungan bunga dan lilin yang diletakkan oleh keluarga mangsa letupan tren di stesen Lubyanka, Moscow semalam.


MOSCOW - Polis Rusia semalam mencari petunjuk dari Caucasus Utara yang merupakan wilayah yang didiami ramai penduduk Muslim berhubung identiti dua pengebom berani mati wanita yang membunuh 39 orang di dua stesen tren bawah tanah di sini kelmarin.
Akhbar Kommersant memetik beberapa sumber yang melaporkan bahawa kemungkinan operasi ketenteraan di Caucasus Utara oleh tentera Rusia yang membunuh seorang militan kanan sebagai punca serangan balas dendam tersebut dilakukan.
Cuma beberapa anggota tubuh pengebom yang ditemui selepas kedua-duanya meletupkan diri dengan bahan letupan pada badan masing-masing di dua buah tren berasingan.
Laman web berita Life.ru menyiarkan kepala kedua-dua mayat wanita yang kini menjadi siasatan utama polis.
Ia melaporkan letupan pertama di dalam sebuah tren di stesen Lubyanka amat kuat sehingga menyebabkan cuma kepala dan kaki pengebom yang ditemui.
Letupan kedua yang berlaku di stesen Park Kultury di sini kurang kuat.
Sumber-sumber keselamatan menyatakan kedua-dua wanita itu menaiki sebuah tren bersama-sama pagi kelmarin di stesen Yugo-Zapadnaya.
Menurut akhbar Kommersant, mereka ditemani dua wanita dan seorang lelaki di stesen berkenaan. Akhbar itu melaporkan bahawa sebahagian pakaian dua pengebom itu ditemui dengan salah seorangnya memakai seluar panjang hitam dan seorang lagi skirt berwarna sama.
Menurut akhbar Kommersant, tidak ada sebarang dokumen ditemui tetapi sekeping tiket dijumpai yang menunjukkan salah seorang pengebom tersebut menaiki tren di stesen Yugo-Zapadnaya. - Agensi

'Keldai' dadah Jepun didakwa





MARIKO diiringi keluar selepas mengaku tidak bersalah mengedar syabu di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.



SHAH ALAM - Seorang bekas jururawat warga Jepun dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini semalam atas tuduhan mengedar 3.49 kilogram (kg) syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dekat sini tahun lalu.
Tertuduh, Mariko Takeuchi, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Jepun.

Lebih 100 bilik pelacur dimusnah




SEBAHAGIAN daripada lebih 100 bilik untuk tujuan pelacuran dirobohkan oleh kakitangan DBKL di Brickfields semalam.


KUALA LUMPUR - Meskipun telah diserbu empat kali sejak 2007, 18 premis yang dijadikan sarang pelacuran di sekitar Brickfields di sini tidak serik dan terus menjalankan operasi.
Dalam operasi bersepadu terbaru pagi semalam oleh beberapa jabatan kerajaan, pihak berkuasa bertindak merampas pelbagai kemudahan di premis terbabit dan memecahkan sekatan-sekatan yang dijadikan lebih 100 bilik untuk tujuan pelacuran.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Penguat Kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Rolan Abd. Rahman berkata kali terakhir premis itu diserbu adalah pada pertengahan tahun lalu.
"Dalam operasi hari ini (semalam) kami merampas kemudahan-kemudahan yang terdapat di premis itu seperti televisyen, kipas dan tilam," katanya kepada pemberita ketika ditemui semalam.
Operasi itu melibatkan DBKL, polis, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dan Tenaga Nasional Bhd. (TNB).
Bekalan air dan elektrik ke premis terbabit dipotong oleh Syabas dan TNB.
Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat kerana operasi semalam itu telah dimaklumkan terlebih dahulu kepada penyewa premis terbabit.
"Kita beri notis kepada mereka kerana ini arahan daripada Datuk Bandar, Datuk Ahmad Fuad Ismail sebab penyewa membina sekatan untuk dijadikan beberapa bilik dan juga menggunakan premis itu untuk tujuan yang tidak dibenarkan," katanya.
Rolan berkata, pihaknya akan mengesan pemilik premis terbabit untuk menasihatkan mereka agar menyewakan premis bagi tujuan perniagaan lain dan bukannya untuk pelacuran.
- Bernama

Mayat janin dalam balang gula-gula





JANIN bayi yang ditemui dalam balang gula-gula di Jinjang Utara, Kuala Lumpur semalam.
JANIN bayi yang ditemui dalam balang gula-gula di Jinjang Utara, Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR - Meskipun kejadian buang bayi banyak dipaparkan di akhbar akhir-akhir ini, namun ia masih tidak memberi keinsafan kepada si pelakunya.
Kelmarin, mayat janin perempuan berusia antara tiga hingga empat bulan yang masih bertali pusat ditemui di hadapan Tokong Foo Yan di Jinjang Utara di sini.
Mayat tersebut ditemui disumbat di dalam balang gula-gula setinggi 0.1 meter oleh seorang pengawal keselamatan, M. Joseph, 33, pada pukul 11.30 malam.

Peniaga dakwa ditipu deejay radio





SEORANG mangsa, Seri khairunnisa menunjukkan tapak bazar Ramadan yang dijanjikan oleh deejay Isma Halil Hamzah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur tahun lalu.



KUALA LUMPUR - Seramai 47 peniaga mendakwa kerugian RM105,000 ekoran kegagalan deejay radio, Isma Halil Hamzah menyediakan tapak bazar Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini tahun lalu.
Bagaimanapun mereka gagal menjalankan perniagaan kerana deejay itu gagal menyediakan tapak tersebut seminggu sebelum Ramadan.

Din Beramboi kritikal




Keluarga terdekat dan rakan-rakan artis melawat Din Beramboi di Hospital Selayang semalam.


KUALA LUMPUR - Deejay radio popular yang juga personaliti televisyen, Din Beramboi (gambar), kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang di sini sejak petang semalam kerana dipercayai dijangkiti virus kencing tikus.
Anak sulung beliau yang hanya mahu dikenali sebagai "Kakak" berkata, bapanya mungkin mengalami jangkitan haiwan tersebut selepas menjalani penggambaran rancangan kanak- kanak di Zoo Negara beberapa hari lalu.
"Saya terkejut dan sedih sebab ayah sebelum ini sihat dan tiada tanda-tanda sakit. Mulanya kami sekeluarga ingat ayah kena denggi.
"Mungkin ayah kena jangkitan virus haiwan itu ketika di Zoo Negara.
"Sepatutnya setiap krew yang terlibat disuntik dengan vaksin khas untuk menghindari sebarang jangkitan," ujarnya ketika ditemuiKosmo! di Hospital Selayang semalam.

Omar kembali ke penjara Laos




OMAR hiba sambil memeluk ahli keluarganya sebelum berlepas ke Laos dari LCCT di Sepang semalam.


SEPANG - Rakyat Malaysia, Omar Atan, 59, yang ditahan tanpa didakwa oleh pihak berkuasa Laos sejak 13 Mei tahun lalu, meninggalkan keluarganya dalam suasana hiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) semalam untuk kembali ke penjara negara berkenaan.
Ini kerana tempoh pelepasan khas selama 10 hari yang diberi kepadanya untuk bersama anak-anak dan menziarahi pusara isterinya, Allahyarhamah Siti Zaleha Abdullah yang meninggal dunia pada 18 Mac lalu telah berakhir semalam

Aktivis perjuang skandal susu didakwa di mahkamah



BEIJING 30 Mac - Seorang aktivis yang berusaha mendapatkan ganti rugi untuk keluarga kanak-kanak yang jatuh sakit atau maut akibat susu mengandungi melamin pada 2008, dihadapkan ke mahkamah di sini hari ini atas tuduhan mencetuskan ketidakstabilan sosial.
Zhao Lianhai yang anaknya sendiri merupakan seorang daripada 300,000 kanak-kanak yang jatuh sakit akibat meminum susu bercampur bahan kimia industri tersebut bagi menambah kandungan protein, ditahan Disember lalu.
Enam kanak-kanak meninggal dunia dalam skandal tersebut, mencetuskan penarikan balik susu buatan China dari pasaran dunia dan mencetuskan kebimbangan besar tahap selamat makanan China.
Isu berkenaan muncul semula awal tahun ini apabila susu tepung tercemar kembali ke pasaran.
"Perbicaraan bermula pagi ini, namun belum ada keputusan. Saya tidak tahu apa situasi di dalam mahkamah," kata Liu Xuemei, isteri Zhao, kepada agensi berita AFP melalui telefon. - AFP

Tiga maut puting beliung landa Bahamas



FREEPORT 30 Mac - Tiga orang terbunuh dan sekurang-kurangnya empat lagi cedera apabila sebuah kren tumbang dilanda puting beliung semasa ribut petir di Bahamas, semalam.
Kren itu tumbang di Pelabuhan Kontena Freeport, sebelah barat Grand Bahama, di mana pokok-pokok tercabut dan tingkap hotel pecah apabila sekurang-kurangnya satu puting beliung membawa kemusnahan meluas di pulau yang terletak kira-kira 100 kilometer ke timur Florida.
Dua orang yang berada di dalam kren itu terbunuh apabila ia tumbang, kata pengarah Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan Bahamas, Kapten Stephen Russell.
Seorang lagi turut terbunuh dan empat lagi cedera di pelabuhan tersebut, kata beliau.
Saksi Glen Marchesani memberitahu akhbar Tribune, mangsa yang terbunuh dan cedera adalah sebahagian daripada sekumpulan 10 lelaki yang sedang melakukan kerja penyelenggaraan pada satu daripada 10 kren di pelabuhan tersebut.
Menurut satu kenyataan kerajaan, puting beliung itu menyebabkan enam kren pelabuhan rosak.
Perkhidmatan Penerangan Bahamas berkata, pelabuhan tersebut dijangka ditutup selama beberapa hari dan beroperasi dengan kapasiti lebih rendah apabila dibuka semula.
Di bahagian lain Grand Bahama, ribut petir itu menyebabkan tingkap bangunan pecah dan bumbung rumah berterbangan. - AP

NATO akan gempur Taliban di Kandahar



WASHINGTON 30 Mac - Tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) akan memulakan operasi menggempur benteng Taliban di Kandahar pada Jun ini.
Seorang pegawai tentera Amerika Syarikat (AS) berkata, operasi di wilayah sekitar sudah pun dimulakan.
Tentera NATO dan AS awal tahun ini melancarkan serangan besar-besaran ke atas Taliban di wilayah Helmand, dekat Kandahar, dan mengumumkan rancangan memulakan operasi di kubu pemberontak itu musim panas ini, tetapi tidak menyatakan tarikh tertentu.
Presiden AS, Barack Obama semasa lawatan mengejut beliau ke Afghanistan kelmarin mempertahankan operasi baru tentera AS uenggempur benteng-benteng Taliban di Helmand dan sasaran akan datang adalah di selatan Afghan yang menjadi kubu pemberontak.
"Strategi kita termasuk operasi tentera bagi menggempur Taliban sambil mewujudkan suasana bagi meningkatkan tahap keselamatan dan peralihan tanggungjawab keselamatan kepada kerajaan Afghanistan," kata Obama kepada askar AS dan NATO yang berhimpun di Lapangan Terbang Bagram, luar Kabul. - AFP
AS dan NATO meningkatkan kekuatan tentera mereka kepada 150,000 askar di Afghanistan dalam tempoh beberapa bulan akan datang sementara usaha untuk menghapuskan kubu militan diperhebatkan.
Komander perang AS, Jeneral Stanley McChrystal memberitahu Obama dalam satu mesyuarat Kabinet perang, usaha untuk menempatkan berpuluh ribu askar tambahan AS di Afghanistan dalam beberapa bulan akan datang sedang berjalan lancar.
McChrystal turut melaporkan 'kemajuan berterusan' dalam operasi memerangi Taliban di Marjah.
Satu briged tempur AS terdiri daripada 4,000 anggota sudah pun ditempatkan di Kandahar pada pertengahan tahun lepas untuk mengawal saluran komunikasi menuju ke ibu kota selatan Afghanistan itu. - AFP

Baju Merah enggan teruskan rundingan



BANGKOK 30 Mac - Penunjuk perasaan antikerajaan tidak lagi berminat untuk mengadakan rundingan lanjut dengan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva, sebaliknya akan mencari jalan lain untuk memaksa pilihan raya baru diadakan.
Selepas dua pusingan rundingan diadakan dengan Perdana Menteri gagal mencapai sebarang penyelesaian, para pemimpin 'Baju Merah' menuduh Abhisit menggunakan taktik berlengah-lengah dan mempersoalkan keikhlasan beliau untuk mencari jalan penyelesaian kepada kebuntuan politik di negara ini.
Abhisit semalam menolak tuntutan penunjuk perasaan supaya Parlimen dibubarkan dalam tempoh 15 hari.
"Matlamat gerakan 'Baju Merah' ialah untuk membubarkan Parlimen dan apabila kerajaan hanya mahu berlengah-lengah, tidak ada gunanya kami mengadakan rundingan lanjut.
"Kami akan bermesyuarat kemudian untuk membincangkan langkah seterusnya bagi mendesak supaya Parlimen dibubarkan," kata seorang pemimpin penunjuk perasaan, Jatuporn Prompan, hari ini.
Abhisit berlepas ke Bahrain untuk lawatan dua hari pagi ini. Beliau mencadangkan rundingan lanjut diadakan bagi menyelesaikan kebuntuan itu dan kemungkinan pemimpin 'Baju Merah' mempersetujui saranan beliau itu masih ada.
Penunjuk perasaan mendakwa Abhisit menjadi Perdana Menteri secara tidak sah, iaitu sebagai ketua sebuah perikatan di Parlimen yang dibentuk oleh tentera, dan menuduh beliau gila kuasa dan menangguhkan pilihan raya yang tidak mungkin dimenangi oleh parti beliau.
Penggal perkhidmatan Abhisit berakhir pada Disember tahun depan dan pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh itu.
Dalam kenyataan yang dilihat sebagai sindiran terhadap bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, pemimpin dan pembiaya gerakan 'Baju Merah' itu, Abhisit berkata, beliau membuat keputusan untuk kepentingan negara, bukan atas kepentingan individu tertentu.
"Pendirian kami jelas. Kepentingan negara mesti didahulukan. Kita semua mahu mencari penyelesaian untuk negara ini, tetapi penyelesaian itu tidak boleh didorong oleh hasrat orang tertentu," kata Abhisit.
Penganalisis berkata, Abhisit yang mendapat sokongan padu daripada tentera dan golongan elit, tidak mungkin tunduk dan keputusan beliau untuk berunding dengan pemimpin 'Baju Merah' hanya bertujuan untuk meredakan ketegangan.
Sementara itu Kabinet Thai hari ini melanjutkan tempoh penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) meliputi Bangkok dan dua wilayah berhampiran selama seminggu lagi sehingga 6 April, bagi membolehkan polis dan askar mengawal tunjuk perasaan. - REUTERS

Penyelam maut ketika menyelamat



SEOUL 30 Mac - Seorang penyelam tentera laut maut hari ini semasa menyertai misi menyelamat anak kapal yang terperangkap dalam kapal perang Korea Selatan, Cheonan yang karam di Laut Kuning.
Penyelam berkenaan menerima rawatan selepas tidak sedarkan diri di tempat kejadian ketika menyertai misi berkenaan, kata seorang jurucakap Ketua Turus Bersama kepada agensi beritaAFP.
Beliau dibawa ke kapal penyelamat Amerika Syarikat (AS), Salvor yang membantu kerja-kerja menyelamat.
Kapal perang seberat 1,200 tan itu karam pada Jumaat lalu selepas terbelah dua dalam satu letupan misteri berhampiran sempadan Korea Utara mengakibatkan 46 anak kapal hilang.
Berpuluh-puluh penyelam sedang bertungkus lumus mencari laluan masuk ke bahagian kapal di mana dipercayai kebanyakan mangsa terperangkap. Mereka mengharungi laut bergelora dengan gelombang besar dan jarak penglihatan yang kabur.
''Matlamat kami ialah untuk masuk ke dalam kapal untuk mencari mana-mana mangsa yang masih hidup, namun ketika ini adalah amat sukar untuk berbuat demikian,'' kata Leftenan Kolonel Song Moo-Jin hari ini.
Menurutnya, para penyelam sedang berusaha dalam kadaan yang amat sukar memandangkan mereka hanya boleh berada di dalam air untuk kira-kira 20 minit pada kedalaman 40 meter. - AFP

1,000 penyelamat dikerah



PELOMBONG yang terselamat menunggu maklumat terbaru dari luar pintu masuk lombong Wangjialing di wilayah Shanxi, semalam, ketika penyelamat berusaha mencari jalan menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap. – AFP


XIANGNING 30 Mac – Hampir 1,000 anggota pasukan penyelamat dikerah untuk mencari 153 pekerja yang terperangkap di dalam lombong arang batu yang dibanjiri air di utara China, sementara pekerja menuduh pihak pengurusan tidak mempedulikan tanda-tanda amaran mengenai bencana yang bakal berlaku.
Dua hari selepas air mencurah masuk ke dalam lombong Wangjialing di wilayah Shanxi, nasib pekerja yang masih hilang selepas insiden kelmarin masih belum diketahui.
Namun, pegawai memberi amaran, gas toksik semakin banyak berkumpul di dalam lombong, menimbulkan ancaman bagi pelombong yang terperangkap serta penyelamat yang cuba menyalirkan air keluar dari lombong.
Jika mereka yang hilang tidak dapat diselamatkan, insiden itu akan menjadi kemalangan lombong paling dahsyat di China dalam tempoh lebih dua tahun.
Pada Ogos 2007, 172 pekerja maut dalam kejadian lombong banjir di wilayah Shandong, timur China.
Timbalan Pengarah Pentadbiran Keselamatan Pekerja Shanxi, Liu Dezheng berkata, 970 penyelamat terlibat dalam operasi mencari itu.
Rakan-rakan pekerja yang hilang itu menuduh pegawai lombong mengarahkan mereka masuk semula ke dalam lombong separuh siap itu, sekalipun selepas kebocoran air dikesan pada Khamis lalu, tiga hari selepas kejadian.
“Air terus meresap masuk selepas itu dan kami melaporkannya, tetapi tiada arahan untuk mengosongkan lombong. Mengapa mereka tidak melakukan sesuatu?” kata seorang pekerja lombong.
Selepas operasi ditutup sehari pada Sabtu lalu, pekerja mendakwa mereka diarah masuk semula pada keesokan harinya, iaitu hari kejadian. – AFP

21 mayat bayi dijumpai, dua pekerja hospital ditahan



31/03/2010 2:35am

BEIJING 31 Mac - Dua pekerja rumah mayat ditahan selepas 21 mayat bayi ditemui di sebatang sungai di timur China, semalam.
Agensi Berita Xinhua memetik seorang jurucakap kerajaan di bandar Jining lewat malam semalam sebagai berkata, Zhu Zhenyu dan Wang Zhijun menerima wang daripada keluarga bayi-bayi malang itu sebagai upah menghapuskan mayat-mayat berkenaan, tetapi kedua-dua mereka hanya membuangnya di Sungai Guangfu.
Tanda pengenalan hospital yang terdapat pada lapan bayi membantu pihak berkuasa mengesan Zhenyu dan Zhijun Hospital Gabungan Universiti Perubatan Jining.
Xinhua melaporkan, tiga lagi pegawai atasan hospital itu telah dipecat atau digantung perkhidmatan. - AP

15 mayat bayi di sungai China





SEORANG lelaki mengumpulkan beg plastik berisi mayat bayi dekat jambatan di Jining, wilayah Shandong, pada 28 Mac lalu. - AGENSI



BEIJING 30 Mac - Sebanyak 15 mayat bayi ditemui di sebatang sungai di timur China, disyaki dibuang sebagai sampah oleh sebuah hospital berhampiran.
Usia mayat-mayat bayi yang ditemui di wilayah Shandong itu tidak dapat ditentukan, namun saiznya menunjukkan ia baru dilahirkan dengan satu daripadanya masih berupa janin, demikian menurutBeijing News.
Pihak berkuasa berkata, mayat-mayat yang ditemui itu mungkin perbuatan menggugurkan kandungan atau bayi yang mati selepas jatuh sakit.
Mayat-mayat bayi malang itu ditemui di pinggir bandar Jining.
Pengguguran bayi menjadi perkara biasa di China di mana tidak kurang 13 juta kelahiran bayi mati setiap tahun, berikutan langkah menyekat kelahiran kebangsaan digelar 'polisi satu anak' yang membenarkan setiap pasangan di bandar hanya mempunyai satu waris sahaja.
Polisi itu mendorong pengguguran berleluasa bayi perempuan di China, yang mana masyarakat China secara tradisinya lebih menyukai anak lelaki.
Menurut saksi, sesetengah mayat mempunyai label tarikh lahir dan nama ibu, namun masih belum dipastikan mereka datang dari hospital mana, kata laporan tersebut.
Laporan tidak memberi maklumat terperinci tentang tarikh lahir. Satu daripada mayat-mayat bayi itu dibungkus dalam beg plastik yang tertera tulisan 'sisa hospital'.
Zhong Haitao, pegawai jabatan kesihatan di Jining berpendapat, mayat bayi-bayi itu dibuang ke dalam tong sampah, manakala sebahagiannya jatuh ke dalam sungai berdekatan. Siasatan rapi sedang dijalankan.
Jabatan kesihatan ketika dihubungi enggan memberi komen. - AFP

Rusia syak militan Afghan-Pakistan



MOSCOW 30 Mac – Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov berkata, militan di sempadan Afghanistan - Pakistan mungkin membantu mengatur serangan bom berani mati di dua buah stesen kereta api, yang mengakibatkan 39 orang terbunuh di bandar raya ini, semalam.
Agensi berita Interfax melaporkan dua pengebom berani mati wanita telah menyerang dua stesen kereta api bawah tanah di sini semalam pada waktu puncak awal pagi.
Kedua-duanya dipercayai mempunyai hubung kait dengan Caucasus Utara, pusat pemberontakan kumpulan Islam yang menentang Moscow, kata Ketua Keselamatan Negara FSB Rusia.
Beberapa pegawai Rusia berkata, kumpulan pemberontak di Caucasus Utara yang merangkumi Chechnya, Ingushetia dan Dagestan mempunyai kaitan dengan al-Qaeda, walaupun ramai penganalisis menolaknya.
Lavrov tidak menyebut al-Qaeda tetapi berkata, pengebom berkenaan mungkin mempunyai kaitan dengan militan di sempadan Afghanistan - Pakistan di mana militan al-Qaeda dan kumpulan Taliban Afghanistan dan Pakistan beroperasi.
Ketika ditanya kemungkinan terdapat penglibatan pihak luar dalam serangan tersebut, Interfax memetik Lavrov sebagai berkata; ‘‘Saya tidak menolak kemungkinan tersebut.’’
‘‘Kita semua tahu bahawa sempadan Afghanistan - Pakistan yang dikatakan tidak mempunyai undang-undang merupakan kubu kuat bawah tanah pengganas,’’ Lavrov dipetik sebagai berkata.
‘‘Kita juga tahu banyak orang di sana aktif merancang pelbagai serangan bukan sahaja di Afghanistan tetapi juga di negara-negara lain. Kadang kala hubung kaitnya sampai ke Caucasus,’’ katanya. – Reuters

Seorang lagi bayi ‘terbuang’





IPOH 30 Mac – Belum reda kisah seorang bayi perempuan ditemui dalam semak berhampiran tempat pembuangan sampah di sini pada Sabtu lalu, timbul pula kisah seorang bayi perempuan yang ditinggalkan oleh ibunya sejak seminggu lalu.
Nasib yang dialami bayi perempuan itu agak baik kerana dia ditinggalkan kepada seorang wanita di sebuah rumah di Jalan Tawas Baru, Taman Ehsan, Tasek dekat sini.
Ibu bayi itu menemui wanita tersebut minggu lalu meminta dia menjaga anaknya yang baru berusia beberapa hari.
Menurut jurucakap Hospital Raja Permaisuri Bainun (HPRB), ibu bayi itu berjanji akan menjemput anaknya keesokan hari namun tidak berbuat demikian.
‘‘Selepas seminggu tidak datang mengambil bayi itu, wanita yang menerima bayi tersebut menyerahkannya kepada pihak hospital,’’ katanya di sini hari ini.
Bayi seberat 3.1 kilogram itu kini ditempatkan di HRPB sementara menunggu tindakan selanjutnya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pada 20 Mac lalu, bayi perempuan yang diberi nama Mahsya Kurnea ditemui dalam kawasan semak berhampiran tempat pembuangan sampah di Jalan Medan Ipoh Satu di sini.
Beberapa hari selepas penemuan bayi itu, mayat seorang bayi lelaki ditemui dalam keadaan yang lebih tragis, tangannya terputus digonggong seekor anjing berhampiran sebuah kilang simen di Kampung Melayu Subang, Selangor.
Berikutan isu pembuangan bayi yang dilihat tiada kesudahannya, Utusan Malaysia menganjurkan kempen ‘Kami Prihatin’ bagi membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap gejala tidak berperikemanusiaan itu.
Melalui program amal itu, barisan artis terkenal tanah air akan bergabung merakamkan sebuah lagu khas ‘Harapan Tanpa Suara’.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman yang melawat Mahsya Kurnea di HRPB hari ini melahirkan rasa sedihnya dengan nasib bayi tersebut.
Sebaik sahaja dimaklumkan mengenai perkara tersebut, Hamidah turut meluangkan masa melawat bayi itu.
Menurut beliau, sekiranya ada di kalangan ibu bapa yang mempunyai masalah untuk menjaga anak mereka, beliau menyarankan supaya berhubung dengan mana-mana pihak untuk menyelesaikan permasalahan tersebut.
“Jangan begitu mudah meletakkan anaknya di mana sahaja. Sedih saya memikirkan nasib anak-anak yang dibuang ini. Tolonglah, jangan ada lagi kejadian seperti ini,” katanya.

Pemuda UMNO Bangang buat dua laporan polis



BUKIT MERTAJAM 30 Mac - Pergerakan Pemuda UMNO Bukit Mertajam hari ini membuat laporan polis mengenai penyebaran surat berhubung perbicaraan kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Pergerakan itu turut membuat laporan polis mengenai pendedahan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang mendakwa mendapat tawaran lumayan untuk mengaibkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kedua-dua laporan polis itu dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO Bukit Mertajam, Mohammad Fauzi Sharif di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini kira-kira pukul 11 pagi.
Mohammad Fauzi berkata, laporan itu antara lain meminta pihak polis menyiasat penyebaran surat tersebut yang didakwa mengelirukan dan dikhuatiri memberi kesan kepada prosiding perbicaraan kes liwat Anwar.
Menurutnya, surat itu ditandatangani oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail bertarikh 12 Februari lalu.
"Antara kandungan surat itu adalah mengenai laporan forensik klinikal Hospital Kuala Lumpur yang merumuskan bahawa pelapor dalam kes itu, Saiful Bukhari Azlan tidak pernah diliwat.
"Pastinya surat itu mengelirukan dan tidak sepatutnya disebarkan memandangkan kes itu masih dalam prosiding mahkamah," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis berkenaan.
Mohammad Fauzi berkata, laporan polis juga dibuat mengenai dakwaan Zulkifli bahawa beliau ditawarkan sejumlah bayaran untuk mengaitkan Najib dan isterinya, Datuk Seri Rosmah Mansor dengan dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Beliau menegaskan, polis perlu menjalankan siasatan segera dan rapi memandangkan dakwaan itu sangat berat kerana ia mengaitkan pemimpin negara.
"Justeru, kami menggesa satu kertas siasatan dibuka bagi mengenalpasti pihak yang terlibat dalam usaha jahat itu," ujarnya.

Ahli perniagaan ditahan bantu siasatan kes bunuh di resort



TELUK KEMANG 30 Mac - Tiga hari selepas kejadian seorang ahli perniagaan mati ditetak ketika menginap di sebuah resort di Port Dickson, polis menahan seorang lelaki yang dipercayai dapat membantu siasatan kes itu.
Lelaki terbabit yang berusia 36 tahun ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson kira-kira pukul 6.35 petang semalam ketika dipanggil untuk memberi keterangan.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan K. Baljeet Singh berkata, lelaki itu yang juga seorang ahli perniagaan merupakan teman lelaki kepada wanita yang turut tercedera dalam kejadian tersebut.
"Lelaki terbabit berasal dari Damansara, Kuala Lumpur bukan merupakan suspek utama kita, namun kita akan menahannya sehingga 5 April depan bagi membantu siasatan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi Sabtu lalu, seorang ahli perniagaan, Ramli Osman, 40, dari Selangor yang merupakan seorang duda, maut setelah ditetak beberapa kali di paha dan kaki di sebuah bilik hotel di Lukut di sini.
Teman wanitanya yang berusia 26 tahun dan berasal dari Kuala Lumpur turut parah akibat ditetak di kaki dan tangan ketika berada di dalam bilik hotel berkenaan.
Wanita terbabit masih menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban.
Ketika ditanya adakah kes berkenaan bermotifkan cemburu, Baljeet tidak menolak kemungkinan itu namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.
"Pihak polis masih meneruskan siasatan berhubung kes ini untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian itu selain menjejaki suspek yang terlibat dalam serangan tersebut," jelasnya.
Katanya lagi, polis percaya penyerang menyelinap masuk dalam bilik resort itu melalui jalan laut kerana tiada kesan pecah masuk ditemui di pintu utama bilik

Zarina disahkan bebas dadah



SEPANG 30 Mac - Pelakon kontroversi, Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul bebas daripada tuduhan mengambil dadah setelah keputusan ujian air kencingnya disahkan negatif oleh makmal kimia Jabatan Patologi.
Ketua Pegawai Operasi Agensi Dadah Kebangsaan (AADK) daerah, Syaiful Asfar A.Rahman berkata, laporan makmal patologi itu yang disahkan pegawai perubatan membuktikan dia bebas daripada pengambilan pengaruh dadah.
Dengan itu, katanya, pelakon drama seram bersiri itu juga bebas daripada pengawasan pihak AADK dan tiada sebarang tindakan yang akan diambil terhadap Zarina.
"Zarina memberi kerjasama baik kepada pegawai-pegawai AADK dan tidak menimbulkan sebarang masalah sepanjang tempoh pengawasan selama tiga minggu sementara menunggu keputusan ujian air kencingnya.
"Malah dia sendiri menawarkan diri menyertai program kaunseling berkelompok AADK hari ini bersama bekas penagih walaupun dia disahkan negatif daripada dadah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tamat sesi program kaunseling tersebut di Pejabat AADK daerah di sini hari ini.
Zarina sebelum ini ditahan AADK dalam satu operasi berhampiran Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini pada 12 Februari lepas dan disahkan positif dadah selepas menjalani saringan ujian air kencing.
Bagaimanapun keputusan ujian patologi dan pengesahan doktor perubatan diperlukan untuk mengetahui sama ada dia benar-benar positif.
Sementara itu, Zarina ketika ditemui memberitahu, dia lega dengan hasil keputusan ujian air kencing daripada jabatan tersebut dan bersyukur kerana bebas daripada dakwaan mengambil dadah.
Menurutnya, keputusan ujian makmal tersebut secara tidak langsung membuktikan dirinya tidak bersalah dan dapat menjawab persoalan serta tuduhan yang dilemparkan ke atasnya oleh pelbagai pihak.
"Saya sebelum ini bukannya tidak mahu bertemu dengan pihak media untuk menjelaskan perkara sebenar tetapi disebabkan keputusan ujian masih belum keluar lagi saya tidak dapat memberi sebarang jawapan.
"Banyak cerita yang tidak benar keluar, ada yang kata saya kena masuk lokap dan kena jamin sampai RM5,000, semuanya dibuat tanpa usul periksa," katanya.
Zarina berharap imejnya sebagai pelakon akan dapat dipulihkan kembali setelah melalui pelbagai rintangan termasuk kes gambar kontroversinya.

88 pegawai imigresen disiasat



KUALA LUMPUR 30 Mac - Seramai 88 anggota dan pegawai imigresen disiasat bagi membantu kes 16 warga asing melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 27 Mac lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, kesemua mereka adalah daripada empat kumpulan yang bertugas di depot itu pada hari kejadian.
Beliau berkata, sehingga kini, semua warga asing yang melarikan diri terbabit masih belum ditemui.
"Kami percaya kejadian itu dirancang rapi sehingga berjaya melepasi sistem keselamatan dan kawalan depot.
"Kemungkinan besar juga kesemua mereka menaiki kenderaan untuk melarikan diri," katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, 16 mangsa pemerdagangan manusia dari Afghanistan dan Myanmar yang diberi perlindungan di depot tersebut melarikan diri.
Kejadian berlaku antara pukul 5 dan 7 pagi membabitkan 12 lelaki Afghanistan dan empat lelaki Myanmar yang melarikan diri dengan memotong jeriji dan memanjat pagar.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan imigresen telah memulakan siasatan dalaman bagi menyiasat prosedur kerja di depot berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai 16 orang yang melarikan diri itu boleh menghubungi Pengarah Imigresen Selangor, Johari Yusof di talian 019-2649061 atau Zainol Azalan Daud di talian 013-9811767.

RPK larikan diri melalui Langkawi?





KUALA LUMPUR 30 Mac - Pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin yang diburu pihak berkuasa dikatakan meninggalkan negara ini ke Thailand secara haram melalui Langkawi.
Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Zamil Ibrahim mendedahkan maklumat itu diperoleh daripada salinan rekod penghantaran e-mel avenger malaysia (avenger.malaysia@gmail.com) dipercayai milik Raja Petra yang diterimanya.
Zamil mendakwa, dalam e-mel kepada seorang wartawan di The Doha Centre For Press Freedom bertarikh 28 Mac 2009, Raja Petra memberitahu beliau dan isteri, Marina Lee berlepas ke Kedah pada waktu tengah malam sebelum menaiki bot ke Langkawi dari sebuah jeti yang lengang.
Dakwanya, apabila matahari terbit Raja Petra memberitahu beliau dan Marina meneruskan perjalanan ke Thailand selama beberapa jam dengan enjin bot mati tiga kali sebelum tiba di Phuket.
"Raja Petra berkata mereka berdua berada di Phuket selama sebulan untuk menguruskan pasport dan dengan duit yang dihantar pihak wartawan itu, dia membeli dua tiket ke Manchester dan tiba pada 24 Mac.
"Dia juga memberitahu telah meninggalkan Thailand dan memasuki United Kingdom (UK) secara sah namun tetap dikira meninggalkan Malaysia secara haram," katanya dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Pada 16 Mac lalu, bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari dalam sidang akhbarnya mendedahkan penggunaan akaun e-mel avenger.malaysia@gmail.com oleh Raja Petra untuk berhubung dengan pihak lain.
Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei lalu bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pada 30 Disember lalu mengesahkan Raja Petra yang menjadi buruan berada di London.
Sementara itu, Zamil berkata, dakwaan Raja Petra dalam e-mel itu menimbulkan tanda tanya kerana ia membabitkan penggunaan dokumen perjalanan yang lain dari pasport Malaysia.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak polis menyiasat bagaimana Raja Petra begitu mudah dapat menyelinap keluar.
Lagipun, tegasnya, apa jua perkara mengenai dokumen perjalanan berkait rapat dengan soal keselamatan negara dan ia perlu diberi perhatian serius.
"Apa yang saya faham hanya pihak Konsul Kehormat Diraja Thailand di Langkawi, Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang boleh keluarkan dokumen perjalanan membabitkan pasport Malaysia dan Thailand.
"Jadi kita tertanya-tanyalah sebab tak mungkin Shazryl dengan kedudukannya yang tinggi sanggup bersekongkol dalam hal ini, jadi siapakah sebenarnya membantu Raja Petra mendapatkan dokumen perjalanan sah dari Thailand," katanya.
Sementara itu, Shazryl Eskay ketika dihubungi hari ini menafikan beliau membantu Raja Petra Kamaruddin meloloskan diri dari negara ini melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam dekat sini.
Katanya, beliau tidak pernah berjumpa, mengenali atau bercakap dengan pengendali laman web Malaysia Today itu apatah lagi membantunya meloloskan diri melalui sempadan Malaysia-Thailand itu.
"Demi Allah saya tidak kenal dia. Saya menafikan dengan tegas (membantu Raja Petra)," katanya.