Search This Blog

Monday, February 22, 2010

Warga emas maut dibelasah

Oleh RAHANA MOHD. DAHARI
utusankelantan@utusan.com.my

JELI 21 Feb. - Seorang warga emas meninggal dunia kira-kira empat jam selepas dibelasah oleh penduduk kampung yang berang dengan tindakannya membawa seorang gadis ke kawasan perkelahan Lata Renyok dekat sini malam tadi.

Yusoff Che Mahmud, peniaga yang berusia 63 tahun sebelum itu dikatakan telah membawa seorang pelajar perempuan tingkatan empat membeli-belah di bandar Tanah Merah pada sebelah petang.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Supritendan Mohd. Hanifah Abd. Malik berkata, tindakan lelaki itu bagaimanapun dilihat oleh salah seorang rakan pelajar terbabit yang kemudian memaklumkannya kepada penduduk kampung.

Menurutnya, selepas dimaklumkan mengenai perkara itu, beberapa penduduk kampung telah mengekori pergerakan mangsa dan gadis itu sehingga ke tempat perkelahan Lata Renyok di Jalan Kuala Balah kira-kira pukul 9 malam.

"Mangsa yang menyedari diekori sekumpulan lelaki menggunakan beberapa buah kenderaan, cuba berpatah balik namun van yang dinaikinya telah dihalang.

"Dia kemudian ditarik keluar sebelum dibelasah kumpulan tersebut. Selepas mengalami kecederaan teruk, lelaki itu dihantar pulang ke rumah isterinya di Kampung Lakota.

"Mangsa kemudian dibawa ke hospital Jeli namun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 1 pagi akibat kecederaan teruk yang dialaminya," katanya.

Menurut Mohd. Hanifah, berikutan kejadian itu, polis menahan seramai 15 individu yang disyaki terlibat dalam kejadian itu bagi membantu siasatan.

Sementara itu, seorang penduduk kampung yang enggan dikenali memberitahu, mangsa merupakan seorang pesara tentera yang berasal dari Kampung Lubok Bongor di sini dan kini menetap di Kampung Lakota.

No comments:

Post a Comment