Search This Blog

Sunday, February 21, 2010

Lelaki mengamuk mati ditembak

Oleh Norzainura Abdul Majid
utusanjohor@utusan.com.my

KLUANG 20 Feb. - Polis terpaksa menembak mati seorang lelaki yang mengamuk dengan parang di hadapan sebuah restoran, kira-kira 400 meter dari rumahnya di Kampung India, Kahang, semalam.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamed Fawzi Arshad berkata, tindakan itu diambil setelah suspek bertindak agresif dan cuba menyerang polis dan orang awam.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan berhubung perkara itu daripada pemilik restoran terbabit kira-kira pukul 12 tengah hari.

Berikutan itu katanya, sebuah kereta peronda bersama dua anggota dari Balai Polis Kahang bergegas ke tempat kejadian untuk mengawal keadaan.

"Suspek lelaki berkenaan bertindak agresif dan dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol.

"Anggota polis berkenaan terpaksa pulang ke balai untuk meminta bantuan sebelum tiga anggota pergi semula ke tempat kejadian," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya cuba memujuk lelaki itu namun gagal sebaliknya suspek cuba menyerang polis.

"Polis terpaksa melepaskan tembakan amaran. Suspek terkejut lalu cuba menyerang seorang remaja yang kebetulan melalui kawasan itu," katanya.

Menurut Mohamed Fawzi, polis kemudiannya terpaksa melepaskan satu das tembakan dan mengenai bahagian atas pinggang kiri suspek terbabit.

Katanya, suspek yang berjaya diberkas dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kahang namun disahkan meninggal dunia selepas 20 minit menerima rawatan kecemasan.

"Kita sedang menyiasat secara terperinci kes itu dan meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut agar menghubungi polis. Kita akan menyiasat kes itu secara telus dan terperinci.

"Anggota polis yang menembak lelaki berkenaan juga ditugaskan sementara di bahagian pentadbiran sehingga siasatan selesai," ujarnya.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati suspek dipercayai berang selepas mendapati adiknya pulang ke rumah dalam keadaan cedera.

Katanya, tanpa usul periksa, suspek bertindak mengamuk mencari individu yang memukul adiknya.

Bagaimanapun, katanya lagi, hasil soal siasat mendapati adiknya bukan dipukul sebaliknya hanya terjatuh daripada motosikal.
Add to Google

No comments:

Post a Comment