Search This Blog

Tuesday, February 9, 2010

Empat radar di perairan Sabah sudah beroperasi

SEMPORNA: Empat daripada lapan unit radar yang dirancang dipasang di sepanjang perairan pantai timur Sabah bagi memantau keselamatan kawasan berkenaan sudah beroperasi, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Beliau berkata, empat unit radar lagi akan dipasang di lokasi strategik di sepanjang perairan negeri itu dan dijangka siap sebelum akhir tahun ini.

"Saya sudah menyaksikan sendiri pusat operasi Angkatan Tugas Bersama di sini yang dilengkapi dengan peralatan daripada Amerika. Jadi kita mempunyai keupayaan untuk menyelia, memantau sepenuh masa keadaan persekitaran sempadan kita.

"Ini termasuk kerjasama dengan agensi seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pasukan Gerakan Marin, Imigresen dan Kastam. Ini sebenarnya menjadi contoh terbaik bagaimana koordinasi menjaga keselamatan (negara)," katanya.

Abdul Latiff berkata demikian selepas melawat Kem Sri Wangsa dekat seni serta menyaksikan demonstrasi operasi model pesawat peninjau tanpa pemandu (UAV) yang sedang dibina dan diuji bagi membantu mengawasi perairan negara.

Katanya, ia adalah kali pertama tentera Malaysia menggunakan aset Amerika bersama dengan aset tempatan sedia ada tanpa perlu menambah perbelanjaan kerajaan namun pada masa yang sama berupaya meningkatkan keberhasilan penggunaan aset berkenaan.
Abdul Latiff berkata, dakwaan sesetengah pihak kononnya perairan Sabah tidak selamat adalah spekulasi semata-mata dan berpendapat amaran perjalanan yang dikeluarkan Kedutaan Amerika Syarikat di sini diperbesar-besarkan oleh media, tidak menjejaskan kehadiran pelancong ke Sabah.

Katanya, Ops Pasir yang dilancarkan sejak 2000 berikutan insiden penculikan di Pulau Sipadan berjaya meningkatkan keyakinan pelancong untuk terus datang ke Sabah khususnya di kawasan pantai timur dan ia terus bertambah setiap tahun.

“Jika adapun berlaku penurunan kehadiran pelancong, ia bukanlah berpunca daripada masalah keselamatan di kawasan sempadan perairan negara sebaliknya disebabkan wabak H1NI dan kemelesetan ekonomi dunia,” katanya.

Projek pemasangan unit radar di pantai timur Sabah itu adalah kerjasama Amerika dan Malaysia di bawah Program Inisiatif 1206.
Ia adalah bantuan Amerika kepada negara sahabat bagi menghadapi ancaman pengganas. - Bernama

No comments:

Post a Comment