Search This Blog

Tuesday, February 23, 2010

Dipenjara 9 tahun sebabkan kematian kekasih isteri


MUAR 22 Feb. - Empat tahun lalu, seorang kerani bank bertindak membunuh seorang lelaki yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya selepas berlaku satu pergaduhan.
Hari ini, lelaki itu bukan sahaja kehilangan isterinya yang gagal dikesan sehingga kini malahan turut dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana membunuh tanpa niat.
Mohamad Faizul Md. Said, 37, dikenakan hukuman itu selepas mengaku salah menyebabkan kematian Shahril Abdul Satar, 26, di sebuah rumah di Taman Sri Penggeram, Batu Pahat antara pukul 9.30 malam, 24 Jun dan pukul 3.15 petang, 25 Jun 2006.
Selain Mohamad Faizul, tiga lagi lelaki yang terlibat sama dalam pergaduhan itu masing-masing dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun.
Ketiga-tiga mereka yang mempunyai ikatan kekeluargaan dengan Mohamad Faizul terdiri daripada Sharun Adnan, 25, dan Hamizullah Abdullah, 26 serta seorang remaja yang kini berusia 19 tahun.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmadi Asnawi berkata, hukuman tersebut adalah sebagai pengajaran agar tiada pihak mengambil tindakan melampaui batas undang-undang.
''Perbuatan keempat-empat tertuduh ini perlu dihukum sebagai pengajaran. Sebenarnya, masalah yang timbul boleh diselesaikan tanpa pembunuhan tetapi anda memilih untuk membunuh tanpa niat.
''Anda bernasib baik kerana Timbalan Pendakwa Raya bersetuju untuk meminda pertuduhan namun kalau anda jumpa saya lagi, saya akan menjatuhkan hukuman gantung,'' katanya.
Ahmadi memerintahkan supaya hukuman penjara terhadap kesemua tertuduh bermula dari tarikh tangkapan pada 6 Julai 2006.
Keempat-empat tertuduh sebelum ini mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Pertuduhan asal terhadap mereka adalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azeezi Nordin. Sharun dan remaja terbabit diwakili peguam bela Sukhdev Singh sementara Mohamad Faizul dan Hamizullah masing-masing diwakili oleh S. Vijaya serta Siti Farha Garieb.
Berdasarkan fakta kes, mayat Shahril ditemui terapung di Sungai Tempayan, Pekan Nanas, Pontian pada 25 Jun 2006 dan pemeriksaan perubatan mengesahkan punca kematiannya adalah disebabkan cekikan di leher.
Mayat mangsa telah dicampak ke sungai berkenaan selepas dia mati dalam pergaduhan dengan keempat-empat tertuduh yang berpunca daripada hubungan sulitnya dengan isteri Mohamad Faizul.

1 comment:

  1. dear blogger..pls refer to this blog www.syarawks.blogspot.com. The true story from the victims. NEWS ARE TOTALLY CRAP! AND WE CANT BELIEVE IT 100%...

    ReplyDelete